Pemain tengah kelahiran Sepanyol, Cesc Fabregas memilih untuk membawa haluan baharu dalam kariernya apabila menyertai kelab saingan Serie B yang dimiliki syarikat konglomerat dari Indonesia, Djarum Group iaitu Como 1907.
Selain daripada kontrak selama dua musim yang dimeterai kedua-dua belah pihak, Fabregas juga dikatakan bergelar pemilik sebahagian selepas beliau memiliki pegangan saham dalam kelab tersebut.
Perkembangan terkini itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dennis Wise dengan mengatakan pemenang Piala Dunia 2010 itu hadir ke Como dengan matlamat yang cukup besar tidak hanya sebagai seorang pemain.
“Dia memiliki sebahagian daripada kelab ini, dia merupakan pemegang saham. Itulah cara apa yang Cesc mahu terlibat dengan kelab ini.”
“Terdapat banyak perkara yang perlu dilakukan dalam bola sepak dari segi bagaimana kami mahu menamatkannya. [layak] ke Serie A. Dia [Fabregas] melihat peluang terbaik itu dan saya sangat gembira dia berada dalam senarai Ahli Lembaga Pengarah,” ujar Wise menurut laporan Football London.
Dalam pada itu, Fabregas turut mendedahkan sebab mengapa beliau memilih untuk menjadi pemegang saham kelab yang menamatkan saingan di kedudukan ke-13 kempen Serie B 2021/22 itu.
“Saya melabur dalam kelab yang betul dan ini merupakan langkah terbesar buat saya untuk menunjukkan betapa bercita-citanya kami sebagai sebuah kelab.”
“Ini adalah apa yang saya mahu lakukan sebagai seorang pemain pada masa ini dan saya mahu menjadi jurulatih di masa hadapan, sesuatu yang ada dalam diri saya, perkara yang saya ingin alaminya.”
Djarum Group cukup terkenal dengan perniagaan dalam bidang tembakau yang diusahakan oleh Michael Bambang Hartono bersama adiknya, Robert Budi Hartono dimana mereka telah membeli Como pada akhir tahun 2019.
Beberapa langkah proaktif telah diambil Djarum Group melalui SENT Entertaiment dalam mengubah nasib kelab yang sebelum ini dibelenggu pelbagai masalah terutamanya melibatkan kewangan.