Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak menyifatkan cabaran semakin sukar bagi merebut kedudukan kedua terbaik Liga Super melihat kepada pencapaian Terengganu FC yang kian konsisten mengutip mata.

KDA FC tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif selama 3 bulan ditambah pula penundaan perlawanan susulan kes positif COVID-19 yang membabitkan pemain pasukan itu tempoh hari.

Mereka kembali semula untuk perlawanan menentang Selangor FC malam ini dan Aidil menyifatkan kelebihan memihak pada skuad gergasi merah itu yang kini dalam momentum terbaik selepas mencatat 2 kemenangan daripada 4 perlawanan yang diharungi.

“Selangor dah bermain empat perlawanan, jadi sudah tentu tahap permainan mereka akan lebih baik, tetapi kita akan cuba yang terbaik”, katanya kepada MFL.

235540317_250916536869704_7155253414651724467_n
Grafik: KDA FC

Aidil turut mengesahkan hanya Ariff Farhan yang digantung perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning manakala pemain-pemain lain berada di tahap terbaik untuk diturunkan.

“Hanya Ariff Farhan yang digantung, manakala yang lain dalam keadaan baik cuma kita boleh jangkakan malam esok akan menjadi malam yang cukup sengit sebab dah lama tidak bermain.

“Kalau dengan keadaan pasukan saya dah tiga bulan tidak beraksi tanpa satu pun aksi persahabatan dapat diadakan, semestinya kita akan jangkakan perlawanan yang lebih berbeza,” jelasnya.

236153433_250916560203035_8892183650108265190_n
Grafik: KDA FC

Mengulas mengenai kedudukan Liga Super setakat ini, Aidil mengakui Terengganu merupakan pasukan yang serba lengkap daripada segala aspek dan sememangnya layak untuk kini kekal di tangga kedua dibezakan lapan mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Terengganu sememangnya layak berada di atas sekarang kerana kalau nak dibandingkan dengan kami, memang berbeza.

“Kami pada awal musim berlaku banyak kecederaan termasuk Renan Alves sebelum ini, tetapi berbeza dengan Terengganu, mereka sentiasa ada pemain yang boleh ditukar ganti disebabkan ada pasukan Reserve Team.

“Jika tiada David da Silva, sekurang-kurangnya mereka ada Jordan Mintah dan itu menjadikan mereka sebenarnya adalah pasukan yang serba serbi lengkap dan seharusnya mereka di tempat kedua sekarang.

“Tetapi kami juga masih ada harapan dan kita akan cuba sehabis baik untuk fokus satu demi satu perlawanan untuk kejar balik kedudukan yang sepatutnya,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Dua Bekas Pemain Import Pertimbang Saman Perak FC

Masashi Motoyama: “Hanya JDT Miliki Fasiliti Setaraf Dengan Kelab Atasan J.League, Pasukan Lain Lebih Kurang Sama Sahaja.”

Pasukan Kedah Dikuarantin Sehingga 14 Ogos