Seperti yang masih lagi hangat diperkatakan, Real Madrid kelihatannya masih belum berputus asa dalam cubaan untuk membawa masuk bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe ke Santiago Bernabeu.
Selepas tiga kali tawaran kelab gergasi Sepanyol itu ditolak PSG pada jendela perpindahan musim panas lalu, Los Blancos dikatakan akan terus berusaha untuk mendapatkan Mbappe pada Januari nanti.
Perkara itu disahkan sendiri Presiden Real Madrid, Florentino Perez yang berharap agar semuanya dapat dilengkapkan pada 1 Januari 2022.
Ketika ramai yang mungkin teruja sekiranya Mbappe menyertai Real Madrid tetapi bagi bekas pengurus kelab tersebut, Fabio Capello memiliki pendapat berbeza mengenai kehadiran pemain berusia 22 tahun itu.
Hal ini kerana, Capello yang pernah membimbing Real Madrid dalam dua tempoh berbeza melihat ada kelemahan lain perlu menjadi keutamaan untuk ditampung kelab tersebut berbanding membawa masuk Mbappe.
“Mereka [Real Madrid] memerlukan masa untuk membina skuad yang kuat. Madrid sebenarnya memerlukan beberapa orang pemain pertahanan tengah.”
“Saya melihat perlawanan bertemu Mallorca [Real Madrid menang 6-1]. Bahagian hadapan mereka tidak mempunyai sebarang masalah walaupun tanpa Mbappe.”
“Mereka mempunyai para pemain yang sangat menarik,” ujar Capello menurut laporan yang dikeluarkan Goal.
Pendapat yang disuarakan Capello itu ada kebenarannya apabila Real Madrid telah kehilangan Sergio Ramos dan Raphael Varane pada jendela perpindahan lalu dan mereka hanya membawa masuk David Alaba serta Eduardo Camavinga sebagai rekrut baharu.
Dengan Karim Benzema yang sudah meledakkan sembilan gol serta lima jaringan daripada Vinicius Junior selepas mengharungi lapan perlawanan, ia membuktikan jentera serangan Real Madrid berada di tahap terbaik.
Sehubungan dengan perkembangan terkini itu, Carlo Ancelotti mungkin perlu untuk mengambil kira dan memandang dengan lebih serius pendapat daripada Capello.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Hilang Dua Pemain Import Tak Ganggu Perancangan Rezal Zambery