Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, tidak berasakan satu bebanan untuk mengharungi baki saingan TM Piala Malaysia 2021 hanya bersandarkan dua sahaja pemain import, Christos Intzidis dan Natanael Siringo Ringo.
Sebaliknya, Rezal mencabar pemain-pemain tempatan terutamanya bakat muda untuk merebut peluang berada dalam kesebelasan utama serta membuktikan keupayaan yang mereka miliki.
Situasi ini terjadi selepas dua lagi pemain import, Jack Hindle (England) dan Mario Arques (Sepanyol) dijangka tidak dapat beraksi sehingga penghujung musim sekali gus membuatkan Rezal perlu bergantung kepada sejumlah besar pemain-pemain tempatan.
“Sebagai jurulatih, sudah tentu saya mahukan komitmen dari pemain untuk berikan 100 peratus dan dalam dua perlawanan sebelum ini, kita boleh lihat banyak perkara positif dalam kalangan pemain.
“Kalau fikir dari segi positif, saya ada nyatakan kepada pemain-pemain saya, ketiadaan pemain ini sebenarnya adalah ruang buat mereka mengisi kekosongan yang ditinggalkan.
“Saya rasa semakin hari pemain-pemain mula menunjukkan hasil yang baik dari tiap perlawanan dan apa paling penting, jangan sesekali berasakan kita tidak boleh berikan saingan biarpun dengan hanya dua pemain import.
“Dalam bola sepak, sebelum kita bermain tiada sesiapa boleh tentukan siapa menang atau kalah tetapi adalah prestasi pemain itu sendiri yang akan menentukan kita sebuah pasukan yang baik atau sekadar hanya berada dalam kelompok saingan Piala Malaysia.
“Saya rasa dalam kumpulan ini, kita akan terus berikan saingan dan tidak mustahil dalam bola sepak, saya juga tidak salah untuk meletakkan sasaran layak ke suku akhir,” katanya.
Beberapa pemain tempatan seperti Nurshamil Abd Ghani, Syed Sobri Syed Mohamad dan Dzulfahmi Hadi dilihat begitu menyerlah bagi membantu Kelantan sejak saingan Liga Premier.
Setakat ini, Kelantan meraih satu keputusan seri semasa berdepan Sabah FC, 2-2 dan tewas 0-2 di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan Kumpulan D.
Sementara itu, Rezal yang mengakui kepercayaan yang diberikan oleh pihak pengurusan sebagai satu pengalaman baharu dan berharga, tidak menyembunyikan hajat untuk mendakap trofi Piala Malaysia pada satu hari nanti selaku ketua jurulatih.
Tambahnya yang pernah menjulang piala berprestij itu pada tahun 2009 bersama Negeri Sembilan selaku pemain, menjelaskan perasaan memenangi Piala Malaysia adalah sesuatu yang sangat berharga serta bukan semua pemain berpeluang melakukannya.
“Semasa bergelar pemain, saya pernah bermain di pentas final sebanyak empat kali dan berjaya memenanginya sekali iaitu semasa dengan Negeri Sembilan pada tahun 2009.
“Kali ini cabaran banyak berbeza kerana ini musim pertama saya mengetuai pasukan ke pentas Piala Malaysia selepas dua tahun bersama dengan UKM, selaku penolong jurulatih dan bersaing di Challenge Cup.
“Bukan mudah untuk memerah otak bagi mengatur pemain dalam setiap perlawanan selain tekanan mengharapkan kemenangan dalam tiap perlawanan.
“Impian saya pada saingan akan datang mampu mengecap trofi Piala Malaysia selaku jurulatih sebagaimana ketika saya bergelar pemain satu masa dahulu,” katanya.