Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe membuat pendedahan dimana beliau sendiri meminta kelab gergasi Perancis itu supaya melepaskannya pada jendela perpindahan musim panas lalu bagi membolehkannya menyertai pasukan baharu.
Seperti dilaporkan sebelum ini, Real Madrid nyata cukup berminat untuk mendapatkan khidmat pemenang Piala Dunia 2018 itu dengan menawarkan sejumlah €220 juta untuk membawa Mbappe ke Santiago Bernabeu.
Malah, masa depan Mbappe bersama PSG juga terus menjadi persoalan hebat kerana beliau masih belum berhajat untuk memperbaharui kontrak lanjutan. Dikhabarkan kontraknya akan berakhir pada tahun hadapan.
Namun, dalam masa sama, pemain berusia 22 tahun itu menafikan dakwaan yang mengatakan beliau banyak kali menolak tawaran serta mempunyai masalah dengan Pengarah Sukan PSG, Leonardo.
“Saya yang minta untuk pergi meninggalkan pasukan kerana pada waktu itu saya sudah tidak mahu untuk memperbaharui kontrak.”
“Saya juga ingin kelab boleh mandapatkan bayaran perpindahan dalam usaha mereka untuk mencari pengganti yang berkualiti,” ujar Mbappe menurut laporan dikeluarkan Goal.
“Ramai orang mengatakan bahawa saya telah menolak enam atau tujuh tawaran lanjutan kontrak, mengatakan saya sudah tidak sudi untuk berbincang lagi dengan Leonardo, semua tuduhan ini adalah tidak benar.”
“PSG adalah kelab yang sudah memberikan segalanya bagi saya, saya sentiasa bahagia selama empat tahun di sini dan masih begitu juga sehingga sekarang. Saya mengatakan [hasrat untuk berhijrah] dengan lebih awal supaya kelab dapat memutuskannya.”
“Saya mahu semua orang keluar daripada situasi ini dengan lebih kuat, saling bergandingan, untuk mencapai satu kesepakatan yang bagus dan saya menghormatinya. Saya berkata, sekiranya anda tidak mahu melihat saya pergi, saya akan kekal bersama kelab ini,” tambah Kylian Mbappe lagi.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
Hargreaves: Kalau Sir Alex Masih Bergelar Pengurus, Fred Akan Dihukum Sebulan
Langkawi City Rancang Pasarkan Pemain Muda Berbakat Ke Eropah