Ketua jurulatih skuad B-19 tahun negara, Brad Maloney menegaskan pemain tengah pasukan, Wan Kuzri Wan Kamal sedang dalam proses untuk mendapatkan keserasian bersama rakan sepasukan yang lain.
Selepas kekalahan besar dalam dua perlawanan persahabatan, ada yang mula mempersoalkan kemampuan pemain Akademi Bolasepak St Louis itu dimana beliau dilihat gagal untuk mencipta persefahaman bersama pemain lain.
Akan tetapi menurut Brad, Kuzri adalah seorang pemain yang bagus dan beliau menganggap pemain itu sebagai aset pasukan.
“Dia seorang pemain yang berbakat, bagus dalam menghantar bola, etika kerja yang bagus, sikap yang bagus dalam permainan, beliau tentunya satu aset penting kepada pasukan,” kata Maloney.
“Kami masih lagi berusaha untuk mendapatkan keserasian, komunikasi di atas padang bersama pemain adalah sesuatu yang perlu diperbaiki, kami akan cuba untuk membantunya,” kata Brad menurut laporan Stadium Astro.
Pada masa yang sama, Wan Kuzri sendiri menyatakan perhatian yang diberikan kepada beliau dilihat sebagai satu tekanan namun pemain berusia 18 tahun itu enggan untuk memikirkannya.
Skuad B-19 tahun negara tewas kepada Petaling Jaya City FC dengan keputusan 6-1 serta tewas kepada Selangor 2 dengan keputusan 4-0.
Baca artikel lain mengenai Wan Kuzri di sini:
Wan Kuzri Enggan Layan Tekanan, Mahu Fokus Bantu Skuad B-19 Tahun Negara