Kelab yang beraksi dalam saingan Ligue 1 Perancis, FC Girondins de Bordeaux semakin hampir untuk menandatangani penyerang skuad kebangsaan Korea Selatan, Hwang Ui-jo bagi menghadapi cabaran musim 2019/2018.
Ui-jo, yang beraksi bersama kelab J League, Gamba Osaka sejak 2017 dikatakan telah bersetuju dengan terma peribadi yang ditawarkan dan beliau akan menandatangani kontrak selama empat tahun yang diberikan oleh kelab tersebut dalam masa terdekat.
Penyerang berusia 26 tahun itu telah tampil dalam 21 perlawanan bersama skuad kebangsaan Korea Selatan setakat ini. Ui-jo menjadi sebahagian daripada skuad yang beraksi dalam temasya Sukan Asia 2018 serta Piala Asia pada awal tahun ini.
Ui-jo sering kali dikaitkan dengan perpindahan ke liga-liga utama Eropah seperti Ligue 1 dan Bundesliga setelah membantu Korea Selatan memenangi pingat emas acara bola sepak ketika Sukan Asia tahun lalu. Selain itu, Ui-jo turut memenangi anugerah Kasut Emas dimana beliau menjadi penjaring terbanyak dengan catatan 9 gol.
Jika beliau sah bergelar pemain Bordeaux, maka Ui-jo akan menyertai seorang lagi pemain dari Korea Selatan, Suk Hyun-jun yang beraksi untuk Stade de Reims. Hyun-jun turut beraksi di bahagian serangan dimana beliau berjaya menjaringkan 3 gol dalam semua pertandingan musim lalu.
Dalam saingan J1 League musim 2018, Hwang Ui-jo menduduki tangga ketiga dalam carta penjaring terbanyak Liga dengan kutipan 16 jaringan, dibezakan lapn gol dengan pemain yang menduduki tempat pertama, Jo dan empat jaringan dengan pemain yang menduduki tangga kedua, Patric.