Lagenda bola sepak India, Bhaichung Bhutia menyifatkan negaranya kini berdepan krisis di bahagian serangan apabila kekurangan pemain tempatan berkualiti yang mampu menggantikan tempat penyerang prolifik, Sunil Chhetri.
Chhetri merupakan penjaring terbanyak skuad India dengan 72 gol dan merupakan satu-satunya wakil negara itu yang tersenarai dalam 10 penjaring terbanyak di peringkat antarabangsa.
Bhutia yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia bersama skuad Perak (2003) dan MK Land (2005) mengakui setakat ini skuad kebangsaan India tiada kombinasi serangan yang mantap selepas era gandingan beliau dengan Chhetri.
Dua nama telah bermain difikirannya iaitu Jeje Lalpekhlua dan Balwant Singh namun kedua-duanya gagal memberi impak yang positif dan sering mengalami kecederaan.
“Ini satu kebimbangan besar kerana selepas era Chhetri, tiada sesiapa lagi. Sukar untuk memberi jawapan kenapa mereka (penyerang India) tidak begitu menonjol.
“Jeje kerap mengalami kecederaan dan sekarang pada umurnya (29 tahun) juga tidak memihak kepadanya. Bagaimanapun, Jeje telah melakukan kerja yang bagus. Saya fikir kecederaan adalah punca kenapa dia tidak boleh bermain dengan baik. Balwant juga kerap cedera,” kata Bhutia dipetik dalam Times of India.
Bhutia juga menjelaskan Persatuan Bola Sepak India (AIFF) tidak dapat membantu melahirkan penyerang tempatan yang berkualiti kerana kebanyakan kelab lebih gemar menggunakan khidmat pemain import.
“Kelab telah membayar gaji dan mereka juga mahu memenangi piala serta memastikan setiap pemain beraksi dengan baik. Kalau kelab yang membayar gaji, AIFF tidak boleh paksa mereka turunkan pemain itu dan pemain ini. Mereka tidak boleh arahkan kecuali mereka sudi bayar gaji pemain itu,” jelasnya.
Justeru itu, Bhutia mencadangkan setiap kelab di India memberi fokus kepada pembangunan akar umbi untuk melahirkan lebih ramai penyerang tempatan yang berkualiti.
“Kekurangan penyerang memang satu masalah. Ia bergantung kepada kelab itu kerana semua menghadapi masalah yang sama. Ini satu kebimbangan besar sebab tiada lagi pemain lain selepas era Chhetri.
“Kita perlu fokus untuk melahirkan penyerang di peringkat akar umbi. Program latihan khas perlu diadakan untuk melahirkan penyerang yang kuat dari pembangunan akar umbi,” tambahnya.
Baca juga artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Pemain Keturunan Indonesia Bakal Beraksi Di Liga Perdana Inggeris Musim Depan
BG Pathum United Buru Khidmat Bekas Pemain Pahang, Chan Vathanaka