Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengesahkan salah seorang penyerang import pasukan, Bergson kekal bersama skuad Harimau Selatan bagi saingan Liga Malaysia musim hadapan.
Baca Juga:
- Tampilkan Prestasi Cemerlang, TMJ Percaya Nilai Arif Aiman Meningkat Naik
- TMJ: Jalil Elias Akan Sertai JDT
- ACL 2023/24: Ini Sasaran TMJ Untuk JDT
Dalam satu wawancara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, TMJ memberitahu perkara ini dan beliau turut menyatakan pasukannya membawa beberapa pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan.
“Sudah tentu kontrak Bergson akan disambung dan kekal bersama JDT musim 2024 serta kebanyakan pemain turut kekal bersama pasukan JDT. Cuma ada beberapa pemain yang kita akan ganti (improve) untuk skuad depth JDT musim depan,” kata TMJ.
“Saya sudah ada perancangan bagi musim 2024. Sebagai contoh, kami melihat ada beberapa posisi yang kami (JDT) perlu perbaiki. Kami sudah pun sedia maklum mengenai pemain-pemain yang kami inginkan pada musim hadapan.
“Sekarang ini persiapan sekitar 85-90 peratus. Saya akan pastikan persiapan pasukan selesai menjelang akhir tahun ini
Sebelum ini, penyerang kelahiran Brazil itu dikatakan akan berhijrah ke kelab Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharjah FC dan JDT dikatakan akan memperoleh keuntungan besar berikutan harga yang dikaitkan dengan nilai pemain tersebut ialah RM5.5 juta.
Sejak menyertai JDT, Bergson berjaya membantu pasukan itu memenangi beberapa kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia selain pernah memenangi beberapa anugerah individu.
Setakat ini, Bergson pernah membantu JDT memenangi Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia selain memenangi Kasut Emas bagi saingan liga musim 2022 selain dipilih sebagai pemain import terbaik pada musim yang sama.