Beberapa hari ini kecoh diperkatakan mengenai pasukan Melaka United yang terpalit isu tunggakan pembayaran gaji pemain-pemain, dan isu ini bukan satu perkara baru dalam bola sepak Malaysia sebenarnya.

Beberapa artikel menyebut bahawa wang tajaan yang tidak diterima menjadi punca kepada masalah yang dihadapi oleh pasukan Melaka United. Sejauh mana penaja pasukan dalam liga bola sepak Malaysia menjadi salah satu punca isu ini?

Dari beberapa maklumat dan cerita sebelum kisah Melaka United ini berlaku, mungkin ramai tidak sedar atau tahu kebanyakan penaja pasukan membayar wang tajaan kepada pasukan secara ‘instalment’ dan bukan ‘lump-sump’.

7D00F63A-1C36-4F38-9898-B2E5F43E030F

Pembayaran dibuat mungkin 1 bulan sekali atau 3 bulan sekali mengikut tempoh dan jumlah penajaan yang dipersetujui oleh pihak berkenaan. Namun, ada juga sesetengah pihak penaja yang dilihat ‘bermasalah’ dalam menyalurkan wang kepada pasukan yang menjadi salah satu punca gaji para pemain tidak dapat dilunaskan mengikut jadual.

Ada juga cerita yang lebih sedih apabila wujud penaja yang seolah-olah terlupa membuat bayaran ansuran penajaan kepada pasukan sehinggakan wakil pasukan terpaksa membuat panggilan meminta wang tersebut untuk tujuan bayaran operasi pasukan.

Selepas itu, jika penaja masih berduit bayaran akan dibuat dan pasukan akan melangsaikan apa yang tertunggak ketika tempoh itu.

352CF119-4401-4EB8-9CFA-AF697CDF2E16

Lebih mengecewakan, ada juga penaja yang sudah ‘pokai’ hanya mampu membuat separuh atau apa sahaja jumlah yang mereka ada ketika itu kepada pasukan. Itu masih belum dikira penaja yang terpaksa menangguhkan terus bayaran ke satu tarikh yang tidak dipastikan kerana masalah yang sama.

Jika kita lihat isu wang tajaan yang menjadi salah satu punca kelewatan pembayaran gaji pemain ini kerana pasukan sudah tiada punca kewangan yang lain untuk menguruskan operasi pasukan.

Ini sahaja yang mereka ada kerana pihak pengurusan tidak boleh bergantung kepada hasil kutipan jualan tiket disebabkan kehadiran di stadium juga sebenarnya amat menyedihkan.

Jualan barangan rasmi pasukan juga tidak laku kerana ramai yang lebih sanggup membeli barang ‘copy ori’ yang tidak akan memberikan 1 sen pun kepada pasukan.

106D41BF-3A55-47D3-98B1-55E785C515FA

Keahlian kelab pun seperti hidup segan mati tak mahu kerana tiada sokongan dari penyokong.

Maka, pasukan terpaksa memilih kebergantungan kepada pihak penaja untuk terus bernyawa, itu pun masih kena ‘scam’.

Jadi, apa pilihan yang kita ada sebagai penyokong tegar bola sepak pasukan masing-masing? Berikan sokongan kepada pasukan masing-masing, bantulah sekadar mana yang termampu. Simbiosis ini sangat diperlukan untuk memacu industri bola sepak Malaysia.

Kepada pihak yang berminat untuk memberikan tajaan, tunaikan apa yang telah dijanjikan pada masanya dan bukan ‘buat keras’ seperti tiada apa yang berlaku.