Pemain keturunan Indonesia yang berpengkalan di eropah, Kevin Diks kini sedang menunggu tawaran daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menyarung jersi skuad Garuda di peringkat antarabangsa.
Pemain pertahanan yang berusia 23 tahun itu pernah beraksi dengan skuad kebangsaan Belanda bawah 20 tahun (B-20) dan beliau mengakui memiliki darah Indonesia sebelah ibunya.
Malah, beliau juga memiliki pengalaman bermain untuk kelab ternama di eropah seperti Vitesse, Feyenoord, Empoli, dan Fiorentina. Ketika ini, Kevin Diks beraksi dalam saingan Danish Superliga bersama kelab Aarhus GF.
Dalam satu temubual di laman YouTube Yussa Nugraha, Kevin Diks menyatakan kesediaan beliau untuk memperkuatkan pasukan kendalian Shin Tae-yong dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022 yang akan datang namun sehingga kini belum ada panggilan rasmi daripada PSSI.
“Saya selalu menyatakan bahawa saya terbuka untuk itu tetapi selama ini PSSI tidak pernah menghubungi atau berjumpa saya. Ya, saya tidak perlu fikir tentang itu.
“Saya sudah beritahu agen saya, Indonesia asal usul saya dan tidak akan katakan tidak untuk itu. Tetapi selama ini mereka (PSSI) tidak bertanya, saya tak perlu jawab,” tambahnya.
Kevin Diks turut berharap PSSI dapat menghubunginya secepat mungkin kerana beliau tidak pasti karier bola sepaknya akan bertahan lama sehingga terlepas peluang beraksi di peringkat tertinggi.
“Saya memang serius memikirkan tentang itu dan kemungkinan besar saya akan jawab ya. Mereka harus bertindak cepat, kalau tidak, saya tidak pasti apa yang akan terjadi nanti. Roda sedang berputar,” jelasnya.
Menurut Transfermarket, statusnya dalam kelab Aarhus GF adalah sebagai pemain pinjaman. Pada bulan julai 2021, beliau akan kembali semula ke Fiorentina.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Lee Kang-in Pecah Rekod Juan Mata Sebagai Pemain Paling Muda Lakukan 2 Assist Untuk Valencia