Salah seorang anggota skuad kebangsaan wanita Jepun yang menjuarai Piala Dunia Wanita 2011, Yuki Nagasato secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baru kelab Hayabusa Eleven FC hari ini.
Sebelum ini, Yuki Nagasato telah berkelana ke Amerika Syarikat beraksi dalam saingan National Women Soccer League (NWSL) bersama Chicago Red Stars dan musim lalu Yuki berjaya merekodkan 8 gol dan 8 assist.
Akibat pandemik Covid-19 dan kecederaan yang dialaminya musim 2020 ini, Yuki mencapai persetujuan dengan Chicago Red Stars untuk dipinjamkan ke Hayabusa Eleven dimana kapten pasukan adalah abangnya iaitu Genki Nagasato.
Seorang lagi adik perempuan Yuki iaitu Asano yang turut menganggotai skuad Nadeshiko Japan, baru sahaja menyertai skuad FootGolf Hayabusa Eleven beberapa hari yang lalu.
永里優季選手が、はやぶさイレブンキャプテンの永里源気選手と、同じく新加入選手のの岩田卓也選手と共に厚木市長を訪問しました。#はやぶさイレブン #永里優季 @Yuki_Ogimi pic.twitter.com/M628AsZzLQ
— 厚木はやぶさFC【公式】 (@atsugi_hayabusa) September 10, 2020
Dikatakan, perpindahan Yuki Nagasato ke Hayabusa Eleven ini adalah satu rekod baru dalam bola sepak, kerana seorang pemain profesional wanita menyertai kelab bola sepak amatur lelaki yang bersaing dalam liga amatur di Jepun.
Berita ini juga telah mendapat liputan dari banyak media antarabangsa, kerana perkara seperti ini amat jarang berlaku dan merupakan satu sejarah dalam dunia bola sepak itu sendiri.
Kelab Hayabusa Eleven yang berpangkalan di Bandar Atsugi, Kanagawa itu telah ditubuhkan pada tahun 2019 dan memasang impian untuk bertanding dalam saingan J.League suatu hari nanti.
Ketika ini Hayabusa Eleven beraksi dalam saingan divisyen 2 Liga Bola Sepak Prefektur Kanagawa dan jika dilihat dari kedudukan hierarki sistem bola sepak Jepun, mereka boleh dikatakan berada dalam divisyen 7.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.