Bekas penyerang prolifik pasukan Selangor, Bambang Pamungkas kini dilantik sebagai pengurus baharu Persija Jakarta bagi menghadapi saingan Liga 1 Indonesia musim 2020.

Beliau yang mengakhiri karier sebagai pemain bola sepak profesional pada 17 Disember 2019 akan menggantikan tempat Ardhi Tjahjoko yang dinaikkan pangkat sebagai penasihat pasukan.

Presiden Persija Jakarta, Ferry Paulus mengesahkan perkara itu dan menjelaskan pengalaman luas dalam bola sepak tempatan yang dimiliki oleh Bambang mampu membantu menaikkan semangat pemain di atas padang.

“Kami memperkenalkan pengurus baharu iaitu Bambang Pamungkas. Beliau yang dikenali sebagai Bepe memiliki pengalaman dan kemampuan luar biasa. Sudah tentu kami mahu memberi tempat dalam pasukan ini setelah dia memutuskan untuk bersara dan jawatan pengurus paling tepat,” kata Paulus.

“Bebe juga berminat untuk mengisi jawatan ini agar dapat membawa Persija meraih pelbagai kejayaan pada tahun ini,” tambahnya.

Bambang Pamungkas
Sumber Gambar: Bambangpamungkas20.com

Bambang Pamungkas sememangnya mempunyai karier yang dianggap luar biasa dimana beliau telah memenangi beberapa kejuaraan utama di Liga Indonesia dan juga Malaysia.

Pemain berusia 39 tahun itu pernah membantu Persija memenangi saingan Liga Indonesia pada musim 2001 dimana beliau turut memenangi anugerah Pemain Terbaik.

Ketika beraksi bersama Selangor di samping rakan sepasukan di skuad Garuda, Elie Aiboy, Bambang membantu skuad The Red Giants memenangi gelaran treble iaitu kejuaraan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia. Selain itu, pemain yang mempunyai kelebihan dari segi tandukan ini turut meraih anugerah Penjaring Terbanyak Liga.

Bersama skuad Garuda, pemain kelahiran Semarang itu membantu Indonesia muncul naib juara saingan Piala AFF dalam tiga edisi iaitu 2000, 2002 dan 2010.

Bambang Pamungkas juga merupakan penjaring kedua terbanyak pasukan kebangsaan Indonesia dengan catatan 38 gol dalam 86 penampilan. Beliau berada di belakang Soetjipto Soentoro yang mempunyai catatan 68 jaringan.

Bambang Pamungkas. (Liga-Indonesia.id).
Bambang Pamungkas. (Liga-Indonesia.id).

Selain itu, Paulus turut mengesahkan beliau tidak lagi menjadi Presiden Persija untuk musim 2020 dan tempatnya akan digantikan oleh Mohamad Prapanca iaitu seorang ahli perniagaan di Indonesia.

“Latar belakang dia sebagai ahli perniagaan diharapkan dapat membawa dimensi baru dalam Persija. Saya yakin dia akan membawa industri baru dengan menggunakan pengalamannya sebagai usahawan,” katanya.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Shimizu S Pulse Mula Mencari Penterjemah Bahasa Thai, Teerasil Dangda Hampir Pasti Ke J1 League

AFC B-23 Tahun: Park Hang-seo Memohon Maaf Setelah Vietnam Tersingkir

Pemain Naturalisasi Liga Vietnam Ini Dipenjara 16 Tahun Selepas Bersalah ‘Scam’ Perempuan Tempatan