Bekas pemain import Selangor, Bambang Pamungkas atau dipanggil sebagai ‘bepe’ menegaskan beliau tidak berminat untuk memegang jawatan dalam pengurusan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sebaliknya menyimpan impian untuk menjadi jurulatih skuad Garuda satu hari nanti.
Pengurus Persija Jakarta itu menjadi pilihan para penyokong untuk menjadi Ketum PSSI (Ketua Umum) bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara itu namun Bambang memilih bekas pemain import Telekom Melaka, Ponaryo Astaman sebagai calon yang sesuai.
“Saya selalu mengatakan orang yang paling sesuai adalah Ponaryo Astaman. Kalau ditanya oleh siapa pun, saya akan menjawab Ponaryo Astaman.
“Saya kata ke dia, ‘lo harus jadi ketua PSSI’. Pendapat saya sendiri, dia harus jadi ketua PSSI,” kata Bambang Pamungkas dalam wawancara khas bersama dua bintang muda, Hanif Sjahbandi dan Rendy Juliansyah melalui laman YouTube.
Bepe juga merasa dirinya lebih sesuai bekerja di atas padang berbanding berada di pejabat. Bagaimanapun, beliau masih belum mengikuti sebarang kursus kejurulatihan seperti rakan-rakannya yang lain.
“Saya bukan jenis yang suka bekerja di belakang meja. Saya lebih sesuai berada di atas padang menjadi jurulatih pasukan kebangsaan.
“Ketika ini saya belum persiapkan diri mengambil kursus kejurulatihan. Ponaryo sudah ada lesen A, Firman Utina sudah ada lesen A, Budi Sudarsono pun ada lesen A tapi saya sendiri lesen C pun belum ambil.
“Saya fikir kalau nak mengharumkan nama negara tidak semestinya perlu menjadi jurulatih. Menyumbang dalam bidang lain pun boleh juga. Saya tidak mengatakan saya tidak akan menjadi jurulatih, mungkin satu hari nanti,” tegasnya.
Bambang Pamungkas sememangnya mempunyai karier yang dianggap luar biasa dimana beliau telah memenangi beberapa kejuaraan utama di Liga Indonesia dan juga Malaysia.
Ketika beraksi dengan Selangor pada musim 2005 hingga 2007 bersama seorang lagi pemain Indonesia, Elie Aiboy, Bambang membantu skuad The Red Giants memenangi gelaran treble iaitu kejuaraan Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia. Selain itu, beliau turut meraih anugerah Penjaring Terbanyak Liga.
Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan Indonesia di sini:
Luis Milla Akui Malaysia Antara Negara Yang Paling Susah Dikalahkan Oleh Indonesia
Simon McMenemy Merajuk, Enggan Sertai Indonesia Untuk Perlawanan Menentang Malaysia