Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengakui tidak mahu terburu-buru dalam mencari Pengarah Kejurulatihan Perseorangan yang baharu.

BAM terpaksa mencari Pengarah Kejurulatihan Perseorangan baharu selepas Wong Choong Han mengumumkan peletakkan jawatan pada 16 Jun lalu.

Kekosongan yang ditinggalkan bekas pemain badminton negara itu selepas menjawat jawatan tersebut sejak 2018 memaksa BAM perlu meneliti dengan cukup terperinci langkah seterusnya.

Sehubungan dengan itu, Norza menyedari hakikat bahawa bukan tugas mudah untuk mencari pengganti dan segala keputusan tidak boleh dibuat dengan terburu-buru.

“Tentu sekali kita [BAM] sedang mencari jalan sesuai untuk gantikan Choong Hann,’’ ujar Norza menurut sumber laporan Bernama.

“Bukan senang kerana beliau telah bersama kita sejak lima tahun lepas, sudah sebati dan menjadi satu daripada penggerak serta aset pasukan badminton kita.’’

“Oleh itu, kita harus kenal pasti jurulatih sesuai, namun ia bukan jalan mudah. Sama ada menerusi penyesuaian struktur masa ini [jurulatih] atau ambil orang baharu.’’

“Perkara ini masih dalam perbincangan, tak boleh terburu-buru mahupun tangkap muat,’’ tambah Norza lagi.

Selain mencari pengganti Wong Choong Hann, BAM juga perlu meneliti calon sesuai untuk mendapatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Akademi Badminton Malaysia (ABM) baharu susulan peletakkan jawatan Michelle Chai yang bertanggungjawab dalam prestasi hambar skuad wanita negara di Sukan SEA 2023 di Kemboja tempoh hari.

 

 

Sumber