Khidmat pemain pertahanan tengah dengan peranan ‘Ball Playing Defender’ amat ditagih oleh seseorang jurulatih sekiranya beliau memilih untuk mencipta serangan dengan memulakan gerakan permainan dari bawah.
Serangan ini terjadi tanpa mengira sama ada dilakukan menerusi serangan pantas atau pun hasil corak hantaran pendek yang menarik. Pastinya perubahan yang ingin dilakukan oleh jurulatih akan menjadi sukar jika pasukan tidak memiliki ciri-ciri pemain yang berkualiti.
Ball Playing Defender adalah seorang pemain pertahanan yang mendapat kebenaran untuk melakukan tugasan melebihi daripada seorang pemain pertahanan tradisional yang hanya memberikan fokus kepada corak permainan bertahan.
Seorang Ball Playing Defender yang mantap akan mampu menjadi perancang pada ketika pemain tengah telah dikawal ketat oleh pemain lawan.
Mereka akan mengambil peranan dalam menghantar bola kepada pemain bek sisi atau pemain sayap serta dibenarkan untuk menggelecek bola keluar dari posisi asalnya.
Untuk mengenalpasti kualiti yang baik buat pertahanan dengan peranan tersebut, pemain ini memiliki teknik menghantar bola jauh yang cukup baik dan juga daya penglihatan yang agak tepat.
Elemen tersebut digabungkan pula dengan teknik-teknik seorang pertahanan tradisional seperti bentesan, mengawal ketat pemain serangan lawan dan juga aspek tandukan yang mampu menewaskan pemain-pemain lawan.
Terdapat ramai pemain dengan peranan Ball Playing Defender bertaraf dunia yang dilahirkan dalam dunia bola sepak moden. Contohnya seperti Leonardo Bonucci, Gerard Pique, John Stones, Ruben Dias, Virgil Van Dijk, Matthijs de Ligt dan ramai lagi dalam pasukan-pasukan gergasi di Eropah khususnya.
Jika ada pasukan di dalam pasukan Malaysia ingin mencuba membentuk pemain pertahanan bercirikan peranan ini, jurulatih boleh cuba untuk menilai pemain-pemain yang bermain di posisi tengah bertahan.
Pemain tengah yang mampu bertahan adalah pemain yang paling dekat dengan ciri-ciri seorang Ball Playing Defender. Cuma perbezaannya adalah posisi permulaan dalam pasukan.
Walaupun pemain dengan peranan ini dilihat memiliki kelebihan buat sesebuah pasukan, tetapi pasukan juga harus menerima kenyataan bahawa pemain dengan peranan ini turut mempunyai kelemahan seperti pemain lain.
Sebagai contoh, setiap Ball Playing Defender memiliki daya mentaliti yang berbeza. Faktor kegugupan dan hilang konsentrasi mampu menjadi masalah utama sekali gus menjurus kepada kesilapan dilakukan oleh pemain pertahanan ini.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Liga M3: Bakat Muda Orang Asli Curi Tumpuan Dalam Sesi Pemilihan Pemain MNY FC
Pengarah Teknikal Tidak Boleh Pegang 2 Peranan, Siapa Sebenarnya Ketua Jurulatih Selangor FC 2?