Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebentar tadi telah melancarkan jersi baharu ‘Home’ dan ‘Away’ bagi menghadapi saingan musim 2021 menerusi satu video pengenalan yang menarik untuk disaksikan.
Terus kekal bersama jenama sukan terkenal dunia, Nike, jersi dengan kombinasi warna biru dan merah serta berkonsepkan berlian itu bakal digunakan juara Liga Super tujuh kali berturut-turut tersebut sebagai jersi ‘Home’.
Manakala bagi jersi ‘Away’ pula, sentuhan yang cukup menarik dengan putih menjadi warna utama disamping terdapat adunan kombinasi biru dan merah. Lebih menarik, jersi kedua ini tampil dengan kolar yang pastinya diminati oleh para penyokong JDT.
Sejajar dengan kerjasama dimeterai antara JDT dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Disember tahun lalu, logo badan pertubuhan antarabangsa itu telah diletakkan pada kedua-dua jersi tersebut.
Rata-rata penyokong JDT memberikan respon positif dengan memuji rekaan jersi tersebut dan juga video pengenalan yang dimuatnaik laman rasmi JOHOR Southern Tigers itu.
Video pengenalan jersi baharu pasukan JDT sentiasa mencuri tumpuan apabila sebelum ini kelab tersebut pernah menampilkan Robert Pires pada tahun 2018 manakala DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bersama-sama bekas Pemain Terbaik Dunia, Luis Figo dan penyokong JDT dari 10 daerah Johor menghiasi video pengenalan jersi musim 2019.
Musim lalu pula JDT tampil dengan elemen berbeza apabila mengetengahkan elemen ‘Cowboy’ dan ada yang mengatakan pengenalan terbaharu ini ala-ala filem terkenal, James Bond.
Baca artikel lain mengenai perkembangan JDT melalui pautan dibawah.
JDT Bakal Lancar Video Pengenalan Jersi Yang Lebih Memukau Dan Serba Canggih Pada 24 Februari
Benjamin Mora Sifatkan Safiq Rahim Sebagai Salah Satu Aset JDT
Sumareh Terima Tawaran Dari Korea Selatan Dan Jepun Sebelum Sertai JDT