Tottenham Hotspur ataupun Spurs telah  mengejutkan semua orang pada semalam apabila mengesahkan mereka telah menamatkan kontrak pemain pertahanan Matt Doherty.

Baca Juga:

Pemain antarabangsa Republik Ireland itu mengesahkan perpindahannya ke kelab gergasi La Liga, Atletico Madrid pada hari Selasa sebagai pemain ejen bebas.

Doherty telah gagal mendapat tempat dalam pasukan di bawah kendalian Antonio Conte selepas mengalami kecederaan lutut pada penghujung musim lalu.

Spurs tamatkan kontrak Doherty atas persetujuan bersama

Pengurus Spurs, Antonio Conte telah memilih untuk menggunakan Emerson Royal sebagai bek sayap kanan, sementara mereka telah menyelesaikan pembelian bintang Sporting CP iaitu Pedro Porro.

Doherty, yang menyertai Spurs dari Wolverhampton Wanderers pada 2020, telah terbukti menjadi pemain skuad yang mantap semasa berada di utara London.

Dia membuat 71 penampilan secara keseluruhan, walaupun Conte pernah terbuka mengkritik pemain itu pada Oktober lalu.

Spurs mengumumkan kemudian pada hari Selasa bahawa mereka bersetuju untuk menamatkan kontrak Doherty supaya dia boleh menyertai Atletico dengan perjanjian tetap.

Spurs menerusi kenyataan rasmi berbunyi: “Kami telah bersetuju untuk penamatan kontrak Matt Doherty untuk membolehkannya menyertai kelab lain.”

“Ditandatangani daripada Wolverhampton Wanderers pada Ogos, 2020, pemain antarabangsa Republik Ireland itu membuat 71 penampilan untuk kita dalam semua pertandingan, menjaringkan tiga gol.”

“Kami harus berterima kasih kepada Matt atas khidmatnya dan mendoakan kesejahteraannya untuk masa depan.”

Timbul persoalan, kenapa Spurs sanggup menamatkan kontrak pemain yang mereka belanjakan wang sebanya £13.4 juta pada tiga tahun lalu?

Sebenarnya, ianya kerana peraturan FIFA.

Peraturan FIFA larang lebih 8 pemain dipinjamkan ke luar negara

Jumlah maksimum pemain yang dipinjamankan ke kelab di luar negara adalah  lapan orang.

Kuota itu telah dipenuhi Spurs beberapa hari lepas selepas membenarkan Bryan Gil menyertai Sevilla dan Djed Spence menyertai Rennes.

Spurs sudah mempunyai enam pemain dipinjamkan sebelum jendela perpindahan Januari. Bek kiri Sergio Reguilon kini bermain dengan Atletico, manakala Giovani Lo Celso juga berada di La Liga bersama Villarreal.

Pemain tengah Harry Winks kini bersama Sampdoria dalam Serie A, manakala Tanguy Ndombele boleh memenangi gelaran di Itali bersama Napoli.

Destiny Udogie menandatangani kontrak dengan Spurs pada musim panas dari Udinese tetapi menghabiskan baki musim ini bersama bekas kelabnya.

Akhir sekali, bek tengah Joe Rodon berada di Rennes.

Jika Doherty keluar secara pinjaman akan menjadikannya pemain kesembilan, yang bertentangan dengan peraturan FIFA.

Spurs memutuskan untuk menamatkan kontrak Doherty, yang akan tamat pada 2024, sebagai tanda terima kasih kepada pemain itu.

Walaupun Spurs menanggung sedikit kerugian daripadanya.

Selain Porro, Spurs juga telah menandatangani Arnaut Danjuma secara pinjaman selama semusim daripada Villarreal.

Anak buah Conte kini berada di tangga kelima dalam Liga Perdana dan kembali beraksi menentang Manchester City pada hari Ahad.