Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi percaya mampu untuk memperbaiki catatan masanya apabila beliau diberikan tiket ‘wild card’ untuk beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia yang dijadualkan berlangsung di Budapest, Hungary pada 19 hingga 27 Ogos ini.

Baca Juga:

Memegang rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan 10.09 saat, Azeem yang berkelana ke Amerika Syarikat berazam mahu melakar catatan masa dibawah 10 saat sekali gus untuk turut layak beraksi di Sukan Olimpik, Paris pada tahun hadapan.

Perlu berhadapan dengan pelumba-pelumba berkelas dunia dan mempunyai reputasi hebat disifatkan oleh Azeem dapat membantu dirinya untuk merealisasikan impian tersebut.

“Saya percaya dan sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik,’’ ujar Azeem menurut kenyataannya di New Straits Time.

“Saya akan bersaing dengan pelari pecut terbaik dunia dan dengan saingan sengit di Budapest, saya percaya saya boleh mencatatkan masa yang lebih baik.’’

Kejohanan terakhir yang disertai oleh Azeem Fahmi adalah pada Kejuaraan Asia di Bangkok, Thailand pada bulan lalu dimana beliau mencatatkan 10.24 saat di peringkat saringan.

Memasuki saingan separuh akhir, Azeem mencipta catatan 10.35 dan peningkatan ditampilkan ketika peringkat akhir dengan 10.25 saat untuk menduduki tangga kelima.

Azeem Fahmi sebelum ini mencipta sensasi pada Ogos 2022 selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan melakar catatan masa 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat pemegang rekod kebangsaan acara 400m wanita, Shereen Samson Vallabouy untuk turut sama mendapat tiket ke Kejohanan Dunia buat kali kedua tidak kesampaian.

Hal ini kerana Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengatakan tiket tersebut hanya diberikan kepada Azeem.