Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi membuktikan kemampuannya apabila berjaya menjuarai acara 100 meter pada kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang diadakan di Tallahassee, Florida.
Lebih manis buat anak muda kelahiran Teluk Intan itu, ia merupakan kali pertama Azeem menyertai acara 100 meter yang menyaksikan sebelum ini beliau telah membuat tiga penampilan bagi acara 60 meter dalam dewan.
Pada acara yang berlangsung awal pagi tadi, Azeem pantas meninggalkan sembilan pesaing lain untuk mencatatkan masa 10.32 saat.
Satu catatan masa yang jauh meninggalkan dua lagi pesaing terdekat beliau, Andre Ewers (10.49s) dan Trei Thorogood dari Universiti Syracuse (10.51s).
Perkembangan terkini mengenai kemenangan Azeem itu disahkan laman Twitter Auburn Track & Field.
Walaupun tidak berjaya meraih catatan masa seperti diharapkannya iaitu bawah 10.20s, kejayaan Azeem Fahmi menjuarai kejohanan ini mampu meningkatkan lagi semangatnya untuk terus memperbaiki prestasi sejak mula berlatih bersama universiti yang terletak di Alabama, Amerika Syarikat itu sejak Januari lalu.
Azeem Fahmi mencipta sensasi pada Ogos 2022 selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100m dengan melakar catatan masa 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia.
Kecemerlangan itu diteruskan apabila Azeem sudah berkelana ke Amerika Syarikat susulan kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan bagi acara 60 meter yang dipegang Watson Nyambek hampir 24 tahun dengan catatan masa 6.63m.