Pelari pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi meraih kejuaraan kedua peribadinya selepas membantu kuartet 4×100 Universiti Auburn menggungguli acara itu di Houston’s Cameron Burrell Alumni Invitational, pagi tadi.
Baca Juga:
- Azeem Fahmi Muncul Juara 100 Meter Di Florida
- Rexy Mainaky, Nasihat Mendiang Bapa Dorong Karier Hebat Takluk Dunia Badminton
- Tengku Ahmad Tajuddin: Figura Hebat Lonjakkan Hoki Malaysia
Dalam acara yang berlangsung di Kompleks Antarabangsa Carl Lewis, Houston itu menyaksikan kuartet Auburn dibarisi Ian Myers, Favour Ashe, Charlie Sexton dan Azeem Fahmi menamatkan saingan dengan catatan masa 40.60 saat (s) pada aksi hanya menampilkan tiga pasukan di final tersebut.
Pingat Perak menjadi milik Houston Christian yang diketuai Zyyare Brown bersama-sama Mark Ngei, Christian Rocha dan Destiny Nkeonye dimana mereka ketinggalan jauh 3.05s.
Sementara itu kuartet Makale Mingo, Victor Davis, Carlos Cazares dari St. Thomas (Texas) meraih pingat gangsa.
Pada aksi yang berlangsung dalam keadaan trek basah akibat hujan, Houston Christian pada mulanya bermula dengan baik apabila Brown meninggalkan Myers dan Mingo.
Bagaimanapun, Ashe yang merupakan pelari kedua tidak memberikan ruang kepada lawannya dengan mengejar Rocha sekali gus membolehkan Azeem selaku ‘anchor’ untuk mudah melepasi garisan penamat dengan penuh ketenangan.
Ia merupakan pingat emas kedua buat Azeem Fahmi selepas beliau melakukan larian cemerlang ketika menjuarai acara 100 meter pada kejohanan Florida State University (FSU) Relays yang diadakan di Tallahassee, Florida.
Sementara itu bagi acara 100 meter pula, Azeem dan Ashe terpaksa menarik diri daripada menyertai peringkat saringan keenam berikutan hujan yang masih turun di Tom Tellez Track.