Pencapaian hebat dilakarkan pelari pecut muda, Muhammad Azeem Mohd Fahmi telah membuka mata pengeluar minuman isotonik nombor satu negara, 100PLUS untuk memilih beliau sebagai penerima Anugerah Khas 100PLUS 2022 di Majlis Anugerah Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2022 yang akan dilangsungkan pada 29 Ogos 2023 di Petaling Jaya.
Baca Juga:
- Azeem Fahmi Percaya Mampu Perbaiki Catatan Masa Di Kejohanan Dunia
- Azeem Fahmi Bantu Kuartet 4×100 Universiti Auburn Raih Pingat Emas
- Azeem Fahmi Muncul Juara 100 Meter Di Florida
Muhammad Azeem ‘muncul’ di arena trek pada usia 14 tahun selepas layak ke final acara 100 meter di Sukan Malaysia (SUKMA) Perak. Bermula dari situ, gelaran ‘Usain Bolt Malaysia’ telah
mencetuskan fenomena baharu sukan olahraga negara.
Bercita-cita menjadi individu yang berjaya sama ada di dalam mahupun di luar trek, Muhammad Azeem yang mencatat keputusan 6 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah memilih untuk
melanjutkan pelajaran serta mengembangkan karier sukannya di Universiti Auburn Alabama di
Amerika Syarikat.
Kurang sebulan ‘berguru’ di bumi Amerika Syarikat, anak jati Teluk Intan, Perak ini terus unggul apabila memadamkan rekod berusia 24 tahun acara 60 meter milik Watson Nyambek di kejohanan
olahraga dalam dewan.
Muhammad Azeem yang mewakili Universiti Auburn mencatat 6.63 saat di Terbuka Texas Tech & Multi di Texas , 0.03 saat lebih pantas daripada Watson Nyambek, ketika beraksi di Kejohanan
Dunia Jepun pada Mac 1999.
Malah, atlet berusia 19 tahun ini juga memadamkan rekod acara pecut 100meter yang dipegang Khairul Hafiz Jantan 10.18 saat ketika beraksi di peringkat saringan, Kejohanan Remaja Dunia,
Colombia tahun lalu dengan catatan masa 10.09 saat.
Pengarah Urusan Perhubungan Kerajaan dan Industri dan Pengurusan Halal, F&N Beverages Marketing Sdn Bhd Dato’ Raffiq Md Ariff berkata pencapaian konsisten Muhammad Azeem sejak
mula penglibatannya dalam sukan amat menakjubkan dan berharap atlet muda ini akan terus mencipta kejayaan demi kejayaan sekali gus mengangkat martabat sukan olahraga ke tahap yang lebih tinggi.
“Kita dapat menyaksikan permata baharu dalam pembikinan dalam arena olahraga negara selepas era 90an iaitu Watson Nyambek dan Azmi Ibrahim sentiasa menghadirkan cerita yang manis untuk sukan tanah air.”
“Kami berharap anugerah yang diberikan kepada Muhammad Azeem Fahmi dapat dijadikan motivasi untuk terus cemerlang dalam arena olahraga sekali gus membanggakan rakyat Malaysia khususnya,” katanya.