Anak kepada legenda skuad kebangsaan Singapura, Fandi Ahmad iaitu Ilhan Fandi menandatangani kontrak profesional pertama beliau bersama Albirex Niigata Singapore sekaligus bakal beraksi dalam saingan Liga Premier Singapura (SPL).

Perkara ini dikongsikan oleh Asian Football dimana Ilhan bakal memakai jersi bernombor 17 dan akan mula beraksi bersama pasukan tersebut setelah pemain berusia 19 tahun itu menamatkan tugasan bersama unit seragam negara itu.

Baru-baru ini, Ilhan terlepang peluang untuk beraksi bersama skuad Singapura B-23 tahun dalam temasya Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam ekoran mengalami kecederaan buku lali sekaligus menyebabkan pemain itu terpaksa berehat panjang dan terlepas temasya edisi kali ini.

“Amat disayangkan kerana Ilhan tidak dapat mengambil bahagian dalam temasya Sukan SEA kali ini. Namun ini akan menjadi peluang keemasan untuk pemain lain membuktikan kemampuan mereka dan membuktikan kepada saya bahawa mereka layak berada dalam skuad,” kata ketua jurulatih skuad b-23 tahun, Nazri Nasir.

Sebelum ini, Ilhan Fandi beraksi bersama pasukan muda Singapura iaitu Young Lions yang turut beraksi dalam saingan SPL. Ilhan telah membuat 33 penampilan bersama Young Lions dan menjaringkan 13 gol.

Anak keempat Fandi Ahmad itu gemar beraksi di posisi pemain tengah menyerang dan seorang lagi legenda Singapura, Noh Alam Shah kagum dengan dengan gerak kaki, koordinasi dan ketenangan yang dimiliki oleh Ilhan.

Sekiranya menampilkan prestasi cemerlang bersama Albirex Niigata, tidak mustahil Ilhan mampu untuk mengikut jejak langkah dua abangnya iaitu Irfan dan Ikhsan yang ketika ini beraksi bersama kelab Thai League 1, BG Pathum United dan sentiasa menjadi pilihan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan bola sepak Asia di sini:

Nguyen Quang Hai Semakin Hampir Sertai Kelab Austria

Buriram United Sedia Terima Tawaran Kelab J. League Untuk Dua Pemain Bintang Mereka

Minyak Masak ALIF Diumumkan Sebagai Penaja Baharu Liga Malaysia 2022