Penyerang skuad kebangsaan Singapura, Ilhan Fandi berkemungkinan besar bakal terlepas perlawanan terakhir kumpulan B saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Malaysia pada 3 Januari ini.

Baca Juga:

Perkara ini dikongsikan oleh Lions of Asia di laman media sosial Twitter dimana Ilhan mengalami kecederaan lutut selepas beraksi pada perlawanan menentang Vietnam minggu lalu.

Ketika bergelut bersama pemain Vietnam untuk mendapatkan bola di depan gol lawan, Ilhan tergelincir lalu jatuh dan kemudian memegang lututnya dalam kesakitan.

Beliau juga dilihat menangis tetapi berjaya bangkit untuk meneruskan perlawanan selepas lututnya dibalut. Keberanian beliau untuk kembali beraksi bagaimanapun tidak bertahan lama.

Ilhan yang jelas kelihatan kecewa sambil menggelengkan kepalanya, dikeluarkan seminit sebelum tamat separuh masa pertama dan digantikan oleh Shawal Anuar pada babak kedua.

Para pemerhati bola sepak Asia Tengara berpendapat insiden tersebut berpunca daripada padang tiruan yang sebelum ini turut menyebabkan abangnya, Ikhsan Fandi mengalami kecederaan lutut dalam kawasan yang sama ketika aksi persahabatan menentang Maldives dua minggu lalu.

Ikhsan telah menjalani pembedahan bagi kecederaan itu dan turut terlepas beraksi dalam kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. Selain Ikhsan, mereka juga kehilangan khidmat Adam Swandi.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo menegaskan lebih ramai pemain akan mengalami kecederaan jika mereka beraksi di padang tiruan yang tidak diiktiraf oleh FIFA.

“Padang tiruan di Stadium Jalan Besar bukanlah salah satu padang yang direkomenkan oleh FIFA kerana ia mampu menyebabkan kecederaan pada pemain.

“Apa boleh buat, peraturan kejohanan Piala AFF 2022 menyatakan penggunaan padang tiruan masih dibenarkan. Saya fikir ia akan memberi kelebihan kepada para pemain Singapura kerana sudah biasa beraksi di situ,” katanya ketika sidang media.