Semalam pihak Saudi telah mengesahkan bahawa mereka menarik diri daripada proses pemilikan baharu Newcastle United.

Broker kepada perjanjian ini, Amanda Staveley telah membuat kenyataan terbuka mengutuk dua kelab yang mengetuai beberapa kelab lain dalam usaha menentang pemilikan Saudi di Newcastle.

Dua kelab tersebut adalah Liverpool dan Tottenham Hostpur.

The Times melaporkan Staveley berlinangan air mata, kerana terlalu sedih dengan kegagalan perjanjian bernilai £300 juta itu dimeterai.

Dan sekarang Mike Ashley sedang mencari pembeli baharu.

PIF yang merupakan konsortium disokong oleh dana Saudi telah menganggap proses penilaian akhir pemilikan itu sebagai tak profesional dan terlalu lambat sehingga menjengkelkan.

Sumber The Times menyatakan ada 10 kelab kesemuanya menentang pemilikan baharu itu. Dengan Amanda Staveley menyebut nama Liverpool dan Spurs sebagai antaranya.

Peminat Newcastle sangat marah dengan berita tersebut. Kerana mereka sudah beberapa bulan ini meraikan pemilik baharu yang berlipat kali ganda lebih kaya daripada pemilik Manchester City.

Ada juga laporan beberapa hari lalu menyatakan perjanjian ini terganggu apabila Mike Ashley tiba tiba menaikkan harga kepada £350 juta selepas perjanjian itu gagal dimeterai dalam tempoh masa yang beliau tetapkan.

Ashley dilaporkan menerima tekanan daripada usahawan dari AS iaitu Henry Mauriss yang mahu membeli kelab tersebut.

Mike Ashley mahu menyegerakan urusan jualan tersebut.

Terlalu banyak isu berbangkit dalam usaha PIF mahu memiliki Newcastle. Bermula daripada tentangan oleh salah sebuah badan penyiar rasmi EPL, iaitu BeIn, kemudian penentangan oleh kumpulan hak asasi Amnesty.

Newcastle memerlukan sokongan 2/3 daripada para pemilik kelab EPL yang lain dalam ujian terakhir untuk pemilik baharu.

Premier League mengambil masa 17 minggu untuk membuat penilaian kepada Saudi Public Investment Fund, yang dipengerusikan oleh Putera Mahkota Mohamed Bin Salman, dalam prosedur yang dipanggil ownerhip and directors test.

Staveley dengan nada kecewa berkata: “Sudah tentu, kelewatan yang melampau itu memberikan kesan.”

0_Barclays-bank-trial-London-United-Kingdom-23-Jul-2020

“Mereka ada peluang untuk melakukannya, mereka kata kami tak menjawab kesemua soalan mereka walaupun kami sudah berbuat demikian.”

“Namun ada kelab lain di Liga Perdana Inggeris tidak mahu perjanjian ini menjadi kenyataan.”

“Kami sangat sedih sebenarnya. Kami berasa sedih untuk penyokong Newcastle, ketika pelaburan baru sahaja nak masuk ke kelab, terutama sekali ketika berdepan impan Brexit dan Covid, ini sangat penting.”

“Kegagalan ini adalah malapetaka buat mereka. Ini telah berlarutan dengan sangat lama, dan ada peluang terhidang di sana [untuk membawa masuk pelabur besar].”

Ditanya sama ada impak daripada isu cetak rompak seperti yang didakwa BeIn ada memainkan peranan juga?

Staveley menjawab: “Isu hak cipta adalah bukan isunya di sini. Namun kami tetap cuba menyelesaikannya juga.”

Sebagai rekod, EPL menjalin kerjasama dengan beIN Sports dengan perjanjian bernilai £400 juta untuk menayangkan perlawanan EPL di Timur Tengah.

Namun ianya telah menjadi mangsa lanun cetak rompak menerusi syarikat bernama  beoutQ.  beIn mendakwa kerajaan Arab Saudi hanya tutup mata dengan perkara tersebut.

Premier League cuba untuk membawa kes ini ke mahkamah di Arab Saudi. Namun kerajaan Saudi tidak melayan tuntutan itu.

Beberapa bulan kemudian PIF yang merupakan konsortium disokong dana berdaulat Saudi mahu membida hak menjadi pemilik Newcastle.

BeIn terus membuat kenyataan media bahawa ianya adalah satu perkara yang akan menjatuhkan imej EPL itu sendiri kerana menerima bidaan daripada pihak yang mencabuli hak penyiaran mereka.

Selain daripada itu, Staveley juga mendedahkan sebelum ini Premier League mencadangkan agar pihak Saudi yang bakal menjadi pemilik EPL akan dilantik menjadi pengarah kepada liga tersebut.

PIF juga sudah bersetuju dengan cadangan itu. Namun malangnya ianya tak menjadi kenyataan.

Baca juga perkembangan lain berkaitan pengambilalihan Newcastle sebelum ini

TERKINI: Impak Covid Antara Alasan Pihak Saudi Tarik Diri Daripada Beli Newcastle

Pengambilalihan £300 Juta Newcastle Dipersetujui, Tunggu Pengesahan EPL

CEO Premier League Akui Proses Pengambilalihan Newcastle Adalah Paling Rumit

Separuh Daripada Kelab EPL Mahu Halang Pemilikan Saudi Di Newcastle

BeIN Dan Amnesty Desak EPL Halang Pemilikan Saudi Di Newcastle, Kenapa?