Pemain perseorangan dan beregu lelaki nombor dua negara, Ng Tze Yong dan gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi berjaya melepasi cabarang masing-masing untuk mara ke pusingan kedua All England 2023.
Tze Yong yang tidak menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Terbuka Jerman nyata sudah cukup bersedia untuk berdepan Shesar Hiren Rhustavito.
Ia jelas dibuktikan apabila Tze Yong tampil dengan cukup bersemangat bagi mencatatkan kemenangan ‘straight set’ 21-9, 21-12 dalam tempoh 36 minit.
Kemenangan itu sekali gus menempah pertemuan beliau dengan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen yang akan berlangsung esok.
Sementara itu, Yew Sin-Ei Yi mengikuti jejak langkah Tze Yong selepas berjaya menundukkan juara Sukan Olimpik 2020 dari Chinese Taipei iaitu Lee Yang-Wang Chi-Lin dalam aksi yang penuh mendebarkan.
Pasangan negara itu tunduk pada set pertama 12-21 dan kemudiannya mempamerkan kebangkitan untuk meraih kemenangan 21-16.
Set penentuan juga begitu sengit dengan kedua-dua pasangan saling kejar-mengejar mata sehingga pada satu ketika terikat 18-18. Namun, beregu profesional negara itu lebih tenang menyerap tekanan untuk menang 21-18.
Menanti mereka di pusingan kedua ialah pasangan dari Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang berada di ranking ke-11 dunia.
Satu lagi wakil negara yang layak ke pusingan seterusnya ialah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang menewaskan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari (Indonesia).
Bagaimanapun perjuangan Pearly Tan-M. Thinaah, Goh Jin Wei, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien terkandas pada pusingan pertama.