Gandingan ‘independent’ negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia 2023 yang berlangsung di Dewan Tertutup, Sheikh Rashid Bin Hamdan, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Baca Juga:
- Badminton Asia 2023: Goh Soon Huat-Shevon Lai Mara Ke Separuh Akhir
- Badminton Asia 2023: Nasib Berbeza Lee Zii Jia, Aaron Chia-Wooi Yik
- Badminton Asia 2023: Tang Jie-Ee Wei Singkirkan Pilihan Ketujuh
Lebih manis, kemenangan penting yang diraih beregu kedua negara itu adalah bertemu pasangan nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto menerusi ‘straight set’ 22-20, 21-15.
Gandingan dari Indonesia itu bagaimanapun memulakan aksi dengan cukup garang apabila memimpin permainan pada peringkat awal.
Namun, Yew Sin-Ee Yi yang dibimbing Rosman Razak mempamerkan kebangkitan dengan corak pertahanan mantap sekali gus berjaya mencuri set pertama dengan kemenangan 22-20.
Skrip hampir sama berulang pada set seterusnya yang menyaksikan Fajar-Rian Ardianto menguasai saingan awal dan kemudiannya beregu negara tampil lebih kemas untuk mengesahkan kemenangan dengan 21-15.
Ia merupakan kemenangan keempat buat Yew Sin dan Ee Yi dalam 11 pertemuan menentang pasangan tersebut sekali gus turut membalas dendam di atas kekalahan mereka pada suku akhir Terbuka Malaysia 2023z
Bakal menanti mereka di separuh akhir esok ialah pemenang antara Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang akan beraksi sebentar lagi.
Dengan kemenangan ini bermakna kem badminton negara akan mempunyai dua wakil di separuh akhir apabila Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan beraksi menentang gandingan nombor satu dunia dari China, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong.