Peledak berbisa Emiriah Arab Bersatu (UAE), Ali Ahmed Mabkhout menegaskan beliau tidak menghiraukan tentang pencapaian peribadi yang kini sedang dinikmati tetapi sebaliknya hanya mahu memberikan fokus untuk membantu pasukan.
Berjaya menjaringkan dua gol pada pertemuan menentang Malaysia di Stadium Zabeel, awal pagi semalam menyaksikan Ali telah merekodkan 73 jaringan di pentas antarabangsa.
Jumlah tersebut juga telah melepasi koleksi jaringan yang telah dihasilkan legenda bola sepak dunia, Lionel Messi serta bintang India, Sunil Chhetri dimana kedua-dua pemain tersebut mengumpul 72 jaringan.
Mengulas tentang peranannya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Ali jelas menjadi igauan ngeri buat skuad negara apabila beliau turut menjadi pemusnah harapan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe di Stadium Nasional Bukit Jalil, dua tahun lalu berikutan dua jaringan yang disumbangkannya telah menghadiahkan kemenangan 2-1 buat UAE.
“Ia merupakan permulaan yang baik. Kami berjaya melakukan apa yang kami perlu lakukan,” ujar Ali Mabkhout menurut laporan dikeluarkan Gulf Today.
“Kami akan cuba untuk bangkit dengan lebih kuat bertemu Thailand [selepas tewas pada pertemuan pertama]. Kemenangan menentang Malaysia adalah hanya satu permulaan dan kami masih belum memilikinya [layak ke pusingan seterusnya].”
“Saya tidak memikirkan tentang statistik jaringan tersebut. Saya di sini hanya untuk melakukan tugasan bagi membantu negara saya untuk melayakkan diri ke Piala Dunia.”
“Saya akan lebih gembira sekiranya kami dapat layak untuk beraksi di saingan Piala Dunia,” tambah Ali lagi.
Ali juga cemerlang dalam saingan domestik apabila beliau muncul penjaring terbanyak kempen Liga Profesional UAE 2020/21 dengan 25 gol dimana kelab diwakilinya, Al Jazira turut menjuarai saingan liga tersebut.
Baca artikel lain mengenai perkembangan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022:
Van Marwijk Tak Mahu UAE Terlalu Selesa, Anggap Cabaran Baru Bermula
Van Marwijk: “Keputusan Perlawanan Persahabatan Malaysia Mungkin Adalah Satu Penipuan”