Skuad negara gagal menemui kemenangan yang diharapkan apabila tunduk 0-4 bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi kelima kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, sebentar tadi.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Zabeel, Dubai itu menyaksikan Dion Cools dan Guilherme De Paula membuat penampilan sulung dalam aksi kompetitif buat skuad negara.
UAE yang jelas mendominasi permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Kim Daeyong menguji gawang skuad negara seawal minit ketujuh.
Berpunca daripada kesilapan pemain negara di bahagian tengah memberikan ruang buat tuan rumah untuk melakukan serangan balas pantas.
Bagaimanapun, Khalil Ibrahim kecewa apabila percubaannya ketika hanya berhadapan dengan Mohd Farizal Marlias dalam kawasan penalti ditepis dengan baik penjaga gol utama skuad kebangsaan itu.
Aksi selepas itu juga turut memperlihatkan penguasaan permainan ditampilkan UAE dimana anak buah Bert Van Marwijk itu cukup selesa dan yakin mengawal bola.
Kombinasi corak permainan pendek dan ada ketika menggunakan kesempatan hantaran jauh yang cukup menarik jelas menjadi senjata utama buat UAE.
Keadaan tersebut nyata menjadi masalah besar buat para pemain negara yang kelihatan begitu bergelut untuk memberikan saingan.
Kealpaan pertahanan skuad negara dihukum pada minit ke-19 apabila hantaran cantik dari kawasan sendiri dilakukan Abdalla Ramadan Bekheet memerangkap Aidil Zafuan Abd Radzak sekali gus dapat kepada Ali Ahmed Mabkhout.
Ali yang menjadi pemusnah harapan negara pada aksi pertama di Kuala Lumpur dua tahun lalu, tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk membuka tirai jaringan menerusi sepakan lambung menewaskan Farizal.
Pasukan yang turut dikenali sebagai ‘The Whites’ itu hampir menjadikan kedudukan 2-0 menerusi satu lagi hantaran menarik dari kawasan sendiri tetapi dua pemain UAE dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Malaysia yang menunjukkan sedikit peningkatan pada 20 minit terakhir separuh masa pertama mendapat peluang terbaik untuk menguji penjaga gol UAE, Ali Khaseif Humaid tetapi tandukan Guilherme De Paula ketika beliau langsung tidak dikawal pertahanan tuan rumah hanya disia-siakannya.
Memasuki babak kedua, pemain negara sedikit menunjukkan peningkatan aksi tetapi ia langsung tidak memberikan masalah buat UAE untuk terus memberikan ancaman ke kubu negara.
Ia jelas terbukti ketika perlawanan memasuki minit ke-64 selepas pemain naturalisasi, Caio Canedo Correa melakukan gerakan lincah dari sebelah kiri pintu gol Malaysia dan kemudiannya beliau melakukan ‘cutback’ kepada Fabio Virgino De Lima.
De Lima yang mendapat ruang cukup baik dalam kawasan penalti meledakkan rembatan tetapi Farizal Marlias bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.
Berselang tujuh minit kemudian, pemain gantian, Syafiq Ahmad melakukan percubaan ‘placing’ menarik dari luar kawasan penalti, namun percubaannya sedikit tersasar di sebelah kiri.
Farizal Marlias menjadi watak penting dalam menghalang kekalahan lebih besar dialami skuad negara berikutan keupayaannya dalam menafikan percubaan berbahaya daripada De Lima dan Ali Mabkhout.
Bagaimanapun, Farizal gagal meneruskan kecemerlangannya apabila ‘placing’ menarik menerusi kaki kiri dilakukan De Lima dalam kawasan penalti berjaya menghadiahkan gol kedua buat UAE pada minit ke-83.
Ketika perlawanan disangkakan bakal berakhir dengan keputusan 2-0, Ali Mabkhout dan De Lima menambah dua lagi gol pada masa kecederaan untuk perlawanan berkesudahan dengan keputusan 4-0.