Kelab Liga Arab Saudi masih belum selesai dalam usaha mereka membolot pemain bintang dunia untuk beraksi di liga itu dimana baru-baru ini Al-Hilal membuat tawaran yang dianggap gila untuk mendapatkan penyerang Napoli, Victor Osimhen.

Baca Juga:

Menurut laporan beberapa portal di Eropah, Al-Hilal sedia untuk memberikan gaji sebesar €1.16 Juta atau sekitar RM5 Juta seminggu kepada Osimhen bagi meyakinkan pemain itu untuk berhijrah ke negara Timur Tengah.

Osimhen sememangnya menjadi buruan beberapa kelab besar di Eropah seperti Chelsea, Bayern Munich dan Paris Saint-Germain setelah menjaringkan 26 gol dalam saingan Serie A musim lalu.

Selepas gagal dalam usaha mereka untuk mendapatkan Kylian Mbappe, Hilal mengubah perhatian mereka kepada Osimhen bagi mengukuhkan lagi jentera serangan pasukan.

Setakat ini, kelab itu berjaya mendapatkan beberapa pemain seperti Malcom, Ruben Neves, Kalidou Koulibaly dan Sergej Milinkovic-Savic pada jendela perpindahan musim panas kali ini.

Akan tetapi, usaha Al-Hilal untuk mendapatkan Victor Osimhen dilihat sukar kerana pemain itu gembira bersama Napoli dan mahu terus kekal beraksi di Eropah.

Ejen Osimhen mahu Napoli agar memberikan kontrak baharu kepada klien mereka dengan pembaharuan gaji dan meletakkan klausa perpindahan sebesar €200 Juta kepada mana-mana pasukan yang berminat untuk menandatangani pemain itu pada masa akan datang.

Untuk melindungi aset berharga mereka, presiden Napoli, Aurelio De Laurentiis sedang mempertimbangkan untuk memasukkan dua klausa pelepasan dalam kontrak Osimhen.

Satu klausa akan digunakan untuk kelab Eropah, manakala satu lagi, bernilai hampir dua kali ganda, secara khusus untuk menyasarkan kelab Arab Saudi.

Dengan saingan Serie A musim 2023/2024 akan bermula pada 19 Ogos ini, kedua-dua pihak mahu untuk mencapai persetujuan dengan pantas.

Lebih banyak rundingan lanjut dijangkakan kerana mereka mencari penyelesaian yang akan memuaskan hati semua pihak yang terlibat dan menjamin masa depan Osimhen di kelab itu.