Larian pantas, kelincahan serta kawalan bola yang cukup baik dimiliki Al-Hafiz Harun menjadikannya sebagai antara tonggak utama buat Penang FC bagi bersaing hebat dalam saingan Liga Super Malaysia 2021.
Setiap kali bola berada di kakinya sudah pasti akan menerbitkan rasa gerun buat pemain pasukan lawan terhadap keupayaan pemain kelahiran Sik, Kedah ini.
Meskipun boleh dikatakan bermula lewat dalam kancah bola sepak profesional apabila hanya menyertai skuad utama Penang pada musim 2018 [berusia 24 tahun], Al-Hafiz membuktikan ia bukanlah satu halangan besar buatnya untuk menyinar.
Bangkit daripada ‘cengkaman’ ACL mengejar impian
Lahir di Hospital Sik pada 13 September 1994, Al-Hafiz memang mengimpikan untuk menjadi pemain bola sepak profesional sejak dari bangku sekolah rendah lagi.
Mewakili sekolah sejak berusia sembilan tahun, beliau tidak langsung memandang ke belakang bagi mengejar cita-cita tersebut sehingga berjaya mewakili skuad Piala Belia dan Piala Presiden 2013 bersama Pulau Pinang.
Aksi cemerlang ditampilkan Al-Hafiz dalam saingan Piala Emas Raja-Raja 2018 menyaksikan Pulau Pinang layak peringkat suku akhir telah mengubah segalanya apabila beliau telah berjaya mencuri tumpuan ketua jurulatih skuad Liga Premier Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid untuk menyerapkannya ke skuad utama.
Bagai mimpi menjadi kenyataan buat Al-Hafiz dapat menyertai skuad Liga Premier Pulau Pinang dan beliau tidak mensia-siakan peluang tersebut dengan memberikan aksi terbaik setiap kali beraksi.
Apa yang telah dikecapi oleh Al-Hafiz dalam merealisasikan impiannya itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah kerana beliau terpaksa menelan kepahitan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) sebanyak dua kali.
Fizikal kecil tak jadi masalah
Andai dilihat daripada aspek fizikal yang sedikit kecil mungkin ramai menganggap ia sebagai satu halangan buatnya tetapi Al-Hafiz tidak melihat semua itu sebagai masalah buat beliau.
Perkara tersebut diakui sendiri pemain yang lebih mesra dengan panggilan ‘Awang’ itu ketika dihubungi wakil Vocket FC.
“Saya sentiasa bekerja keras untuk bersaing dengan pemain yang lebih senior dan berpengalaman. Bagi saya ukuran fizikal itu bukan satu halangan buat saya untuk bersaing hebat bila bertembung dengan pemain yang memiliki fizikal lebih besar.”
“Bagi saya juga, disiplin adalah perkara yang paling utama untuk kejar apa yang kita ingin capai dalam karier ini dan dalam pada itu perlu terus berdoa kepada Allah SWT.”
Pujian Neitzel tak lekakan Al-Hafiz Harun
Seperti dilaporkan sebelum ini, kelibat Al-Hafiz yang mempamerkan aksi menarik ketika membantu Penang menundukkan Selangor 2-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mendapat pujian pengendali Selangor, Karsten Neitzel.
Neitzel jelas mengakui serangan balas yang dimulakan Al-Hafiz sangat membahayakan dan menganggap ia merupakan punca kepada kekalahan Selangor pada perlawanan tersebut.
Al-Hafiz Harun bagaimanapun tidak mahu dibuai dengan pujian tersebut kerana menganggap masih banyak lagi perkara perlu dilakukannya buat Penang.
“Bagi saya, [pujian] itu merupakan satu permulaan buat diri saya untuk terus melonjakkan lagi prestasi saya bagi membantu pasukan kerana perjalanan masih terlalu panjang untuk diharungi.”
Impian besar Al-Hafiz
Menjadi lumrah buat setiap pemain bola sepak pastinya ingin menyarung jersi skuad kebangsaan sebagai antara pelengkap karier mereka.
Perkara itu juga tidak terkecuali bermain di sanubari Al-Hafiz yang menyimpan impian besar untuk menyarung jersi skuad kebangsaan pada satu hari nanti.
Selain itu, beliau juga mahu membantu skuad Penang untuk terus memberikan tekanan kepada pasukan-pasukan ternama saingan Liga Super sekali gus menamatkan kempen liga musim ini di kedudukan empat pasukan teratas.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.
Datuk K.Rajagobal Bermula Dengan Langkah Kanan Bersama Brunei
Kerajaan Dan FA Jerman Sokong Tindakan Protes Pemain, Kimmich Tak Setuju Boikot Piala Dunia Qatar