Peminat bola sepak tempatan akhirnya menerima berita gembira apabila Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan aktiviti makan dan minum di dalam Stadium kini dibenarkan bermula 1 April ini susulan peralihan fasa endemik.
Menurut laporan daripada Bernama, selain aktiviti makan dan minum, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun turut dibenarkan masuk ke dalam stadium dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengalu-alukan apabila stadium dan pusat kejohanan membenarkan penonton makan dan minum, selain kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dibenarkan masuk. Sudah tentu kelonggaran ini disambut baik oleh orang ramai.
“Namun prosedur operasi standard (SOP) untuk terus memakai pelitup muka jika tidak minum atau makan, serta penjarakan sosial perlu dipatuhi,” kata Faizal kepada pemberita.
Sebelum ini, aktiviti makan dan minum di dalam stadium tidak dibenarkan sejak saingan liga berlangsung pada musim pandemik COVID-19 kerana peraturan itu merupakan sebahagian daripada SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan terhadap saingan Liga Malaysia.
Situasi itu menyebabkan jumlah kehadiran penyokong ke stadium semakin berkurangan kerana peraturan tersebut sedikit membebankan mereka serta merosakkan pengalaman menonton perlawanan bola sepak di Stadium.
MFL dijangka akan mengubahkan peraturan ini mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan selari dengan fasa peralihan endemik dimana terdapat beberapa kelonggaran untuk kemudahan para penyokong.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Terengganu Bantah Waktu Sepak Mula 8.15 Malam, Mahu MFL Tukar Kepada 9.00 Malam
Hanya Penyokong Lengkap Suntikan Dos Penggalak Sahaja Dibenarkan Masuk Ke Stadium