Pengendali skuad B-22 tahun Thailand, Akira Nishino menegaskan benteng pertahanan pasukan Indonesia sukar dibolosi sekaligus skuad bimbingannya tewas dengan keputusan 2-0 pada perlawanan saingan kumpulan B temasya Sukan SEA 2019.

Menurut Nishino, anak-anak buahnya bekerja keras untuk mencari gol namun kukuhnya benteng pertahanan skuad Garuda mengagalkan usaha para pemain. Oleh itu, Nishino mahu membuat penilaian semula bagi memastikan perkara tersebut tidak berulang pada perlawanan seterusnya.

Akira
Sumber Gambar: Changsuek

“Keputusan perlawanan ini sudah pasti tidak terlalu bagus untuk pasukan. Namun, para pemain sudah berjuang di atas padang. Pasukan lawan nyata tampil lebih baik berbanding kami.

“Kami memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol namun gagal berbuat demikian. Kami akan memberi fokus untuk menghadapi perlawanan selanjutnya,” kata bekas ketua jurulatih pasukan kebangsaan Jepun itu.

Tambah Nishino, ketiadaan pemain senior sememangnya memberi kesan terhadap prestasi pasukan namun beliau enggan untuk menjadikan hal itu sebagai alasan.

“Sudah pasti ketiadaan pemain senior memberikan kesan. Akan tetapi kami masih meletakkan sepenuh keyakinan terhadap pemain muda yang ada.

“Prestasi yang ditampilkan pemain banyak dipengaruhu oleh keadaan permukaan padang. Namun pemain telah menampilkan persembahan terbaik beraksi di atas permukaan padang seperti ini,” tambahnya.

Jaringan Egy Maulana Vikri dan Osvaldo Haay masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua memberikan Indonesia kemenangan pada perlawanan pertama mereka. Selepas ini, Indonesia menghadapi Singapura pada 28 November ini manakala Thailand akan menghadapi Brunei.

Baca artikel lain mengenai temasya Sukan SEA 2019 di sini:

Sukan SEA 2019: Indonesia Lakar Kejutan, Tewaskan Thailand Pada Perlawanan Pertama

Datuk Ong Kim Swee Mahu Jentera Serangan Tampil Lebih Tajam