Penyerang kebangsaan, Akhyar Rashid muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan untuk membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan juara Liga Korea, Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi AFC Champions League (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Baca Juga:

Lebih menarik, jaringan Akhyar itu turut menewaskan penjaga gol kebangsaan Korea Selatan yang beraksi di Piala Dunia 2018 dan 2022 iaitu Jo Hyeon-woo.

Mengulas mengenai gol tersebut, Akhyar sebenarnya mahu melorongkan bola kepada Arif Aiman namun tidak menyangka rakan sepasukannya itu melorongkan semula bola kepadanya untuk menjaringkan gol.

“Pasal gol tu, saya memang terdetik nak buat macam tu…saya pergi ke tengah dan lari semula untuk side dan undur semula bagi mendapatkan bola kerana niat saya untuk bagi Arif shooting tapi dia pass semula untuk saya dan alhamdulillah saya dapat jaringkan gol.

“Sebelum ini pun saya digelar super sub dan sebelum dimasukkan coach cakap, ‘go! do what you want, you just go!’ itu sahaja,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut turut menghidupkan peluang JDT mara ke peringkat kalah mati dengan menyasarkan kedudukan dua teratas kumpulan.

Harimau Selatan kini berada di tangga ketiga dalam kumpulan I selepas mengutip enam mata yang sama dengan Ulsan Hyundai yang berada di tangga kedua kerana kelebihan jaringan.

Misi seterusnya anak didik Solari perlu mengharungi aksi lebih mendebarkan apabila berdepan Kawasaki Frontale, 28 November ini di gelanggang lawan sebelum kembali ke Iskandar Puteri untuk berdepan BG Pathum United, 12 Disember nanti.