Pertahanan berpengalaman, Mohd Aidil Zafuan mengakui masih belum menjumpai mana-mana penyerang setakat ini yang mempunyai ketenangan dalam melakukan sentuhan penyudah seperti mana bekas penyerang kebangsaan di awal era tahun 2000, Khalid Jamlus.
Walaupun dia hanya sempat beraksi menentang Khalid ketika pemain itu bersama Kelantan dan dia bersama Negeri Sembilan pada musim 2009 serta 2010, Aidil masih mengagumi kualiti dimiliki bekas penyerang Perak dan Selangor berkenaan.
Justeru, Aidil memilih Khalid sebagai pemain dalam barisan XI terbaiknya untuk digandingkan dengan bekas penyerang import Kedah, Marlon Alex James.
“Saya pernah ada pengalaman dengan Khalid walaupun ketika itu dia di hujung karier, tetapi sehingga kini saya fikirkan belum jumpa ada mana-mana penyerang sepertinya.
“Paling buat saya kagum, ketenangannya semasa mendapat bola dan dia seorang bijak serta sentiasa berfikir dalam mencari ruang bagi menjaringkan gol.
“Dia bukan jenis seorang yang suka berlari merata-rata dan tidak gopoh dalam membuat keputusan,” katanya.
Dalam senarai pilihan XI Aidil, dia memilih formasi 4-4-2 dengan menyenaraikan Mohd Yazid Yassin sebagai penjaga gol.
Di barisan pertahanan, Aidil meletakkan Ching Hong Aik di bahagian kiri sementara dua bekas bintang Negeri Sembilan, Khairul Anuar Baharom dan Norhafiz Zamani Misbah selaku pertahanan tengah manakala posisi kanan menjadi milik S.Kunanlan.
Bekas pemain antarabangsa Argentina yang pernah beraksi dengan Johor Darul Ta’zim(JDT) pada 2013 dan 2014, Pablo Aimar dan Idris Karim mengisi bahagian tengah manakala Liew Kit Kong selaku pemain sayap kiri diikuti Hardi Jaafar di sayap kanan.
“Pengalaman bermain dengan Aimar juga antara pengalaman terindah buat saya kerana kita tahu dia antara pemain berkelas dunia.
“Manakala Hardi dan Idris Karim antara pemain senior yang banyak memberi tunjuk ajar serta membimbing saya ketika di awal penglibatan dalam bola sepak.
“Mereka berdua mempunyai personaliti yang tidak serius di luar padang serta disukai ramai pemain muda tetapi bila hari perlawanan, mereka cukup serius.
“Khairul Anuar Baharom pula merupakan idola saya sebelum masuk skuad senior Negeri Sembilan serta ada daya kepimpinan dan ketegasan di atas padang,” katanya.
Anda boleh membaca artikel lain mengenai Khalid Jamlus di sini:
Khalid Jamlus Gesa Pasukan Selesaikan Tunggakan Sebelum Memotong Gaji Pemain
Khalid Jamlus Mahu Shahrel Fikri Lupakan Seketika Masalah Perak, Tumpu Pada Harimau Malaya