Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak mengimpikan pasukannya dapat memulakan saingan Liga Malaysia 2021 dengan harapan mampu menyaingi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Februari tahun hadapan.
Malaysian Football League (MFL) hari ini telah mengumumkan kalendar Liga Malaysia 2021 yang menyaksikan Piala Sultan Haji Ahmad Shah bakal berlangsung pada 26 Februari 2021 di antara JDT dan Kedah.
Jelas Aidil, pertembungan buat kali keempat antara dua gergasi bola sepak tempatan itu diharap mampu memihak kepada Kedah selepas kali terakhir mereka menjuarai saingan itu pada tahun 2017 selepas menewaskan lawan sama menerusi penentuan penalti.
“Melihat kepada kalendar yang dikeluarkan oleh MFL tadi, saya tengok kita ada banyak masa untuk mempersiapkan pasukan dengan lebih baik dan tempoh masa lebih dua bulan ini cukup untuk kita buat persiapan pra musim.
“Macam kita tahu, musim ini memang agak lewat sedikit untuk kita habiskan Liga Malaysia, tetapi dengan kalendar yang sudah keluar awal ketika ini, kita sudah boleh membayangkan sasaran awal khususnya dalam Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
“Saya rasa memang impian semua pasukan untuk tewaskan JDT, mereka pun sudah tiga kali memenangi trofi Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan apabila sekali lagi Kedah akan menentang mereka, saya rasa sudah tiba masa untuk kita cuba menyaingi JDT.
“Tetapi macam mana pun, bukan kita hanya ingin fokus satu perlawanan itu sahaja, kerana apa yang penting adalah konsistensi selepas perlawanan tersebut untuk Kedah cuba bertahan di kedudukan terbaik dalam saingan Liga Super 2021”, jelasnya.
MFL UMUM KALENDAR LIGA MALAYSIA 2021
Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan tarikh-tarikh bagi kalendar Liga Malaysia musim 2021 yang bakal membuka tirai pada Februari tahun depan.
Baca lanjut ➡ https://t.co/VkCTTmn6qj#LigaMalaysia2021 pic.twitter.com/prscooQJI4
— Malaysian Football League (@MFL_MY) November 17, 2020
Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam mesyuarat kali ke-23 baru-baru ini memutuskan Kedah akan mengisi slot Piala Sultan Haji Ahmad Shah sebagai status naib juara CIMB Liga Super 2020 selepas tiada pemenang Piala FA dan TM Piala Malaysia di mana kedua-dua kejohanan itu terpaksa dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
Ketika ini, Aidil mahu barisan pemain mengambil peluang merehatkan fizikal dan minda secukupnya sebelum diberikan tugas untuk mempersiapkan diri daripada aspek kecergasan terlebih dahulu.
“Liga Malaysia 2020 sudah habis, jadi saya mahu pemain-pemain yang ada untuk meneruskan musim 2021 berehatlah sepuas-puasnya dahulu sebelum kita bagi program untuk latihan kecergasan pula.
“Bagusnya kita sudah tahu lebih awal kalendar musim 2021, dan kita boleh menyediakan segala program dengan lebih tersusun untuk mereka ikut segala jadual yang akan disediakan oleh jurulatih kecergasan kita,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:
Bekas Pemain Import Negeri Sembilan Didenda RM8000 Kerana Menipu Pihak Bank
Dua Pasukan Liga Super Berminat Dapatkan Khidmat Hansamu Yama