Kejutan berlaku dalam saingan Piala AFF Bawah 19 tahun (B-19) 2022 semalam apabila tuan rumah, Indonesia gagal melangkah ke separuh akhir walaupun mencatat kemenangan besar 5-1 ke atas Myanmar.
Kejohanan ini masih menggunakan peraturan ‘Head to head’ untuk menentukan dua pasukan teratas yang mara ke peringkat kalah mati. Berdasarkan kedudukan dalam kumpulan A, mereka terikat 11 mata yang sama dengan dua pencabar terdekat iaitu Thailand dan Vietnam.
Keputusan seri 1-1 diantara Thailand menentang Vietnam dalam perlawanan terakhir semalam telah menjadi penyebab utama pasukan Garuda Muda itu tersingkir sekaligus mengundang rasa kecewa dalam kalangan penyokong negara itu.
Malah, Ketua Umum Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (Ketum PSSI), Mochamad Iriawan (Iwan Bule) menyatakan pihaknya akan membuat bantahan rasmi kepada Federasi Bola Sepak ASEAN (AFF) kerana mendakwa pasukan Thailand dan Vietnam sengaja berpakat untuk menyingkirkan pasukan itu.
PSSI mahu membuat aduan terhadap cara pasukan Thailand dan Vietnam bermain selepas minit 76 apabila pemainnya dilihat sengaja membuang masa dengan mengalami kecederaan dan sering melakukan hantaran di kawasan sendiri walaupun tidak diasak.
Selain itu, para pemain Thailand dan Vietnam sempat senyum seolah-olah sedang berpakat untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
Seperti inilah pertandingan menit-menit akhir Vietnam vs Thailand.
Umpan-umpan di belakang tanpa ada press dari lawan, pemain Thailand yang cuma nonton tiba-tiba cedera 😊 pic.twitter.com/F2l3y8mOv3
— VFC Indonesia (@vocketfcID) July 10, 2022
Oleh sebab itu, Iwan Bule akan berbincang dengan PSSI untuk menganalisis rakaman video perlawanan Thailand menentang Vietnam sebelum menghantar bantahan rasmi.
“Kami akan berbincang secara dalaman esok (Hari ini). Kami akan tengok kembali video perlawanan dan menganalisisnya dengan beberapa pihak termasuk pengarah teknikal sebelum memastikan apakah kami akan menghantar bantahan.
“Kami tidak boleh menilai apakah ada ‘permainan’ atau tidak. Nanti yang hanya menilainya ialah Jawatankuasa Disiplin AFF. Yang jelas kami kecewa. Mereka (Thailand dan Vietnam) adalah negara besar, masa permainannya begitu-begitu sahaja” kata Iwan Bule dipetik dalam Vocket FC Indonesia.
4 pasukan setakat ini sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir Piala AFF B-19 iaitu Thailand, Vietnam, Laos, dan Malaysia.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Jumlah Pengikut Facebook Pau FC Naik Mendadak Selepas Quang Hai Diumumkan Sebagai Pemain
Australia Sedia Jadi Tuan Rumah Piala Asia Dengan Syarat AFC Anjak Ke Tahun 2024
ACL 2022: Aksi JDT Menentang Urawa Red Diamonds Akan Berlangsung Di Stadium Saitama