Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengutuk sekeras-kerasnya serangan  tentera Israel ke atas pemain dan penonton keika perlawanan akhir Piala Abu Ammar (Piala Palestin), Balata FC menentang Jabal Al Mukabber di Stadium Antarabangsa Faisal Al Husseini, al-Ram pada Khamis lepas.

Baca Juga:

“AFC meminta agar semua tindakan keganasan oleh tentera Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan segera. AFC berdiri dalam solidariti teguh dengan Persekutuan Bola Sepak Palestin (PFA) dan komuniti bola sepak Palestin,” kata badan induk bola sepak Asia itu dalam satu kenyataan rasmi. 

Tentera Israel bertindak kejam memecah masuk stadium dan melepaskan gas pemedih mata sehingga menganggu kelancaran perlawanan.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, ratusan penyokong yang hadir bangkit lari menyelamatkan diri untuk mengelakkan daripada terhidu gas pemedih mata dilepaskan oleh tentera Israel yang menceroboh masuk dengan kenderaan perisai.

Perlawanan terpaksa dihentikan kerana terdapat ramai mangsa yang cedera termasuk wanita dan kanak-kanak.

Situasi tersebut sekaligus mengundang kemarahan peminat bola sepak dunia dan mereka turut menuntut agar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman berat terhadap Persatuan Bola Sepak Israel.

Hal ini kerana menurut peraturan FIFA, penggunaan gas pemedih mata adalah dilarang dalam mana-mana perlawanan Liga Domestik atau peringkat antarabangsa.

Ada juga peminat dari Indonesia menuntut FIFA menimbangkan semula penyertaan Israel dalam Piala Dunia bawah 20 tahun (B-20). Awal minggu ini FIFA telah mengumumkan Indonesia telah kehilangan hak sebagai tuan rumah Piala Dunia B-20.

Ianya berlaku selepas Gabenor Bali dan beberapa badan bukan kerajaan di Indonesia (NGO) membantah kehadiran skuad kebangsaan Israel dalam saingan Piala Dunia B-20 yang bermula pada 20 Mei hingga 11 Jun ini.

Lebih merumitkan, Iraq juga tidak mahu diundi satu kumpulan bersama Israel sebagai tanda solidariti untuk Palestin.