Kelab Bola Sepak Kuala Lumpur (KL City) sekali lagi mencipta sejarah baharu apabila berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala AFC 2022 selepas menewaskan kelab Uzbekistan, Sogdiana Jizzakh di final Antara Zon menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.

Baca Juga:

Dalam perlawanan ini, KL City menurunkan barisan terkuat termasuk penjaga gol import dari Filipina, Kevin Mendoza. Namun, Sogdiana bermula dengan garang berbekalkan sokongan padu daripada ribuan penyokong sendiri.

Permukaan padang yang kering memberi sedikit kesukaran kepada pemain KL City dari segi kawalan bola dan kedua-dua pasukan dilihat bermain dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan kesilapan mudah.

Pada minit ke 18, Sogdiana nyaris menjaringkan gol pembukaan namun rembatan penyerang mereka berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol KL City, Kevin Mendoza.

Malah, Mendoza bersama barisan pertahanan turut beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya jentera serangan Sogdiana. Peluang terbaik KL City hadir pada minit ke 28 tetapi tandukan Giancarlo Gallifuoco melepasi palang gol selepas menerima hantaran sepakan penjuru Paulo Josue.

Paulo Josue juga gagal menyambar hantaran cantik Zhafri Yahya dari sebelah kanan pada minit ke 39 yang sepatutnya menghasilkan gol pertama untuk KL City. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan Sogdiana bangkit dengan corak permainan yang lebih teratur. Barisan pertahanan KL City dipaksa bekerja keras untuk mengekang kemaraan jentera serangan tuan rumah.

Pengalaman menentang kelab Vietnam, Viettel FC dan kelab India, ATK Mohun Bagan jelas mengajar KL City beraksi lebih tenang menyerap setiap asakan pemain lawan.

Walaupun diasak oleh Sogdiana, KL City sempat melakukan serangan balas dan hampir menjaringkan gol pada minit ke 79 tetapi percubaan Romel Morales dihalang oleh benteng pertahanan tuan rumah.

90 minit perlawanan berakhir tanpa jaringan dan terpaksa diheretkan ke masa tambahan. Ianya adalah detik yang sangat mendebarkan para penyokong setia KL City dan mereka menanti apakah sejarah baharu bakal dilakar sekali lagi malam ini.

Kevin Medonza adalah pemain yang paling cemerlang dalam perlawanan ini apabila tangkas menafikan deretan percubaan berbahaya Sogdiana sejak separuh masa pertama.

Pengendali KL City, Bojan Hodak kekal dengan taktikal bertahan dan turut melakukan 3 pertukaran pemain dengan memasukkan Kenny Palraj, Anwar Ibrahim serta Fakrul Aiman.

Bagaimanapun, ia tetap berakhir dengan kedudukan 0-0 sehingga diheretkan kepada penentuan sepakan penalti. Kesempatan itu dimanfaatkan oleh KL City apabila menyempurnakan semua sepakan penalti sekaligus mara ke final.

Hasil kemenangan ini bermakna KL City akan bertemu kelab dari Oman, Al Seeb di perlawanan akhir Piala AFC 2022 yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini. Mereka berpeluang menyamai pencapaian JDT yang pernah menjuarai Piala AFC pada tahun 2015.