Ketua jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo mahu anak buahnya manfaatkan kelebihan di halaman sendiri untuk mengutip 3 mata apabila dijadualkan bertemu wakil Malaysia, JDT pada aksi AFC Champions League (ACL) 2023/24 esok.

Prestasi pasukan itu tidak begitu bagus dalam 3 perlawanan akhir Liga Korea apabila mencatat 2 keputusan seri dan 1 kekalahan. Mereka juga tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale dalam perlawanan kedua ACL.

Manakala JDT kini berada di tangga kedua Kumpulan I selepas mengutip tiga mata apabila menang 4-2 ke atas BG Pathum United dari Thailand pada aksi 3 Oktober lalu dan tewas tipis 0-1 kepada Kawasaki Frontale pada 19 September lalu.

Myung-bo turut mengakui aksi bertemu JDT sangat sukar dan pasukan dari Asia Tenggara kini tidak boleh dipandang rendah lagi.

“Dulu pasukan asia tenggara kurang dari segi fizikal dan stamina. Tetapi sekarang mereka bermain dengan corak permainan berbeza.

“Johor mempunyai beberapa pemain warisan yang berdarah Sepanyol, Brazil dan Argentina. Ada juga beberapa pemain yang berkualiti. Kami perlu hapuskan sikap pandang rendah terhadap pasukan Asia Tenggara,” katanya.

Tahun lepas, Ulsan Hyundai tewas dua kali kepada JDT ketika saingan ACL dijalankan secara venue berpusat di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

Penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon-woo yang juga merupakan pemain kebangsaan Korea Selatan turut beraksi dalam perlawanan itu tahun lepas.

Malah, beliau turut dikatakan menjadi punca kekalahan yang menghancurkan peluang pasukan itu untuk mara ke pusingan kedua.

Jurulatih Ulsan Hyundai Salahkan Penjaga Gol Sebagai Punca Tewas Kepada JDT

“Saya tahu Johor sebuah pasukan yang mempunyai jentera serangan yang hebat dan agak laju berdasarkan pengalaman tahun lepas.

“Kami telah bersedia sepenuhnya. Saya akan cuba menganggu fokus pemain lawan dan memastikan kemenangan berpihak kepada kami di hadapan penyokong sendiri,” tegas Hyeon-woo.