Kekalahan bekas Juara AFC Champions League (ACL) 2020, Ulsan Hyundai kepada JDT semalam telah mengejutkan peminat bola sepak di Asia. Walaupun berjaya menewaskan juara J-League, Kawasaki Frontale 3-2 beberapa hari lepas namun mereka masih gagal mengutip sebarang mata menentang Harimau Selatan itu.
Ketika perlawanan dilihat akan berkesudahan dengan keputusan seri 1-1, tuah memihak JDT apabila Park Yong-Woo tertampan bola hantaran lintang Arif Aiman Hanapi ke gawang sendiri pada minit akhir sekaligus membawa Harimau Selatan ke pusingan kedua buat kali pertama dalam sejarah.
Bagaimanapun, ketua jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo menyifatkan kesilapan dilakukan oleh penjaga gol pasukan itu, Jo Hyeon-woo sebagai punca kekalahan yang menghancurkan peluang mereka untuk mara ke pusingan kedua.
Hyeon-woo sepatutnya menangkap bola tersebut tetapi beliau mengambil keputusan untuk menumbuk bola ke rakan sepasukan dalam kawasan kotak penalti. Jika tidak kerana kesilapan tersebut, Ulsan ada peluang cerah dinobatkan juara kumpulan I dengan 11 mata.
“Dia penjaga gol skuad kebangsaan, tetapi dia buat kesilapan yang tidak sepatutnya. Kesilapan ini membawa padah dan memberi kesan kepada keputusan perlawanan.
“Ini perlawanan wajib menang. Kedua-dua pasukan ada peluang tetapi malangnya kami gagal menyelamatkannya [bola tersebut].
“Kami akan lihat semula jaringan itu lagi tetapi saya rasa pemain mengalami sedikit kesukaran. Bukan mudah untuk menghadapi jadual perlawanan yang cukup padat tetapi saya fikir pemain sudah melakukan yang terbaik.
“Kekalahan ini telah memberikan pengajaran yang berguna. Ada banyak faktor yang boleh digunakan sebagai peluang terbaik untuk meningkatkan prestasi pemain,” kata Myung-Bo dipetik dalam Sports Never.
A note to every #KLeague GK (for the 7,289th time): Stop. Punching. The. Damn. Ball!
If Jo Hyeon-woo just catches this like he should, there’s no opportunity for an own goal. #ACL2022 | #JDTvUHD https://t.co/rrfK97KlFq
— Ryan Walters (@MrRyanWalters) May 1, 2022
Sementara itu, pengulas bola sepak Korea Selatan, Kim Dae-gil berpendapat kualiti pasukan dari Asia Tenggara semakin meningkat dan tidak mustahil pasukan dari K-League akan menjadi pasukan belasahan pada masa yang akan datang.
“Dari segi corak permainan, pasukan Asia Tenggara semakin setanding dengan pasukan K-League. Jika kelab K-League semakin kurang melabur, pasukan Asia Tenggara nampaknya membuat pelaburan berani seiring dengan pertumbuhan ekonomi. Pada masa hadapan, kita perlu menjalankan analisis relatif yang menyeluruh.” katanya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
Disajikan Pemandangan Indah, Bali United Bina Pusat Latihan Rasmi Di Tepi Pantai
Singapura Umum Takayuki Nishigaya Sebagai Ketua Jurulatih Baharu
Penyokong Azul Claro Numazu Kibar Bendera Malaysia Sebagai Tanda Sokongan Kepada Hadi Fayyadh