Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan sulung dalam kejohanan siri jelajah dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kini kembali menduduki tangga kedua ranking dunia.

Baca Juga:

Berdasarkan kemaskini terbaharu dikeluarkan BWF, gandingan utama negara itu mengumpul 88,164 mata untuk melonjak satu anak tangga yang turut menjadi pencapaian terbaik buat mereka.

Juara Terbuka Denmark yang berstatus Super 750 itu pernah berada di kedudukan kedua bermula penghujung Januari hingga April 2023.

Dengan prestasi turun naik selepas itu sehinggalah bergelar juara di Odense pada bulan lalu, ia merupakan kali ketiga gandingan Aaron dan Wooi Yik menghuni kedudukan kedua terbaik ini.

Aaron dan Wooi Yik hanya ketinggalan 1,827 mata dibelakang gandingan Liang Wei Keng-Wang Chang yang yang kini berada di ranking teratas.

Manakala, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang sempat merasai nikmat selaku gandingan nombor satu dunia selama dua minggu selepas memenangi pingat emas Sukan Asia menjunam ke tangga keempat.

Selain mengejar kedudukan terbaik ranking dunia, para pemain pada ketika ini sedang berhempas-pulas untuk memburu mata bagi ranking Jelajah Dunia.

Kejohanan Akhir Jelajah Dunia BWF 2023 bakal berlangsung pada 13 hingga 17 Disember di Hangzhou, China yang menawarkan wang tunai cukup lumayan buat para pemain.

Sementara itu, pemain juga perlu bersaing merebut slot untuk beraksi dalam Sukan Olimpik 2024 yang bakal berlangsung di Paris pada 26 Julai hingga 11 Ogos

 

Sumber