Pemain beregu lelaki negara, Aaron Chia Teng Fong tidak melihat kejayaan sulung dalam kejohanan siri jelajah dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuatkan beliau dan pasangannya, Soh Wooi Yik berada dalam tekanan.

Baca Juga:

Malah, beliau melihat detik manis dikecapinya di Terbuka Denmark 2023 yang berstatus Super 750 itu sebagai pembakar semangat buat mereka untuk terus memburu kejayaan.

Penantian panjang pasangan nombor satu negara itu berakhir malam tadi selepas tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-13, 21-17.

Kejayaan yang sekali gus menjadikan mereka sebagai antara beregu lelaki terbaik pernah dilahirkan Malaysia berbekalkan kejayaan meraih pingat dalam Kejohanan Dunia (juara 2022  dan tempat ketiga 2023) serta pingat gangsa dalam Sukan Olimpik 2020, Sukan Asia 2022 dan Sukan Komanwel 2022.

“Saya rasa untuk perlawanan tadi [malam tadi] memang kita sentiasa fokus terhadap apa yang kita harus buat,” ujar Aaron dipetik sumber video wartawan TV3, Syakirah Zulkifly.

“Memang corak permainan kita sentiasa konsisten. Lepas [menang] set pertama kita pun dah rasa lebih yakin dan dapat ‘pegang’ mereka.”

“Sekarang ini [memenangi] gelaran jelajah dunia pertama buat kita dan memang banyak motivasi buat kita. Saya harap akan dapat lebih banyak kejayaan datang.”

“Tetapi ia bukanlah tekanan buat kami tetapi satu motivasi buat kita,” tambah Aaron lagi.

Cabaran seterusnya buat Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan rakan sepasukannya beralih ke Terbuka Perancis yang bakal bermula esok.

Kejohanan yang turut berstatus Super 750 itu menyaksikan Aaron dan Wooi Yik akan berhadapan dengan satu lagi gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.