Semangat penyokong setia Tok Gajah masih belum pudar walaupun Sri Pahang dibelasah 5-1 ketika menentang Terengganu di Stadium Darul Makmur dalam perlawanan pertama pusingan 16 TM Piala Malaysia 2022 pada hari khamis lepas.

Baca Juga:

Buktinya 4 buah bas sudah habis ditempah oleh sekumpulan penyokong Elephant Army (EA) yang dijangka hadir dengan lebih 300 orang tidak termasuk konvoi dengan kenderaan persendirian untuk memberikan sokongan padu.

Difahamkan 4 buah tersebut datang dari Kuantan ditambah pula dua lagi bas yang membawa sekumpulan Elephant Army dari Lembah Klang dan Jerantut sekaligus melengkapkan 6 buah bas menuju ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Walaupun sokongan diberikan tanpa mengira keputusan perlawanan, namun EA tetap mahu pihak pengurusan Sri Pahang memenuhi 9 tuntutan yang telah dinyatakan demi kemajuan bola sepak negeri tersebut.

“Fahamilah semua, apa yang kami perjuangkan ini bukanlah untuk kepentingan peribadi kami, tetapi kami lakukan untuk kebaikan pasukan. Tidaklah kami sanggup melihat maruah pasukan terus menerus diperlakukan sebegini rupa.

“Kami hanya mahukan pasukan bolasepak Pahang ini menjadi seperti pasukan bolasepak sebenar. Dimiliki oleh mereka yang cakna dan passion tentang bolasepak serta diuruskan oleh orang yang professional dalam bidangnya.

“Apa yang terjadi ini adalah hasil dari pengurusan yang gagal. Gagal melindungi organisasi, gagal menyediakan barisan jurulatih yang bagus, gagal menyediakan skuad lengkap, gagal mengawal keharmonian pasukan, gagal mencari pemain yang baik, gagal membentuk pemain, gagal menyediakan tempat latihan yang kondusif, gagal menyediakan masterplan, gagal dalam komunikasi dengan pemegang taruh, gagal dalam menjaga nama dan maruah pasukan,” kata EA menerusi laman facebooknya.

Sumber Gambar: Facebook Elephant Army

Syarat layak ke peringkat suku akhir, Sri Pahang memerlukan 5 gol tanpa bolos untuk memadam defisit jaringan tersebut namun ia tidak mustahil kerana dalam sukan bola sepak apa sahaja boleh berlaku jika pemain lawan membuat kesilapan yang mengundang padah.

Keyakinan itu turut diluahkan oleh pengendali tok gajah, Dato Dollah Salleh yang menuntut pemainnya bangkit menjaringkan sekurang-kurangnya 4 gol walaupun sedar berdepan tugas yang sukar.

“Saya, Fandi Ahmad, dan barisan kejurulatihan akan fokus untuk perbetulkan dalam tempoh masa yang ada. Bukan sahaja pertahanan, serangan juga perlu berfungsi lebih baik. Kita masih ada 90 minit, empat gol memang besar tapi kita jangan menyerah kalah,” kata Dollah kepada sripahangfc.com.my.

Kehadiran dua pemain naturalisasi, Lee Tuck dan Sergio Aguero turut memberi banyak pilihan kepada Dollah Salleh untuk membentuk barisan yang mantap di bahagian serangan.