Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan senarai nama 27 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih skuad bola sepak B-20 kebangsaan, Brad Maloney bagi menyertai kem latihan pusat Fasa 1 secara kuarantin selama sembilan hari di Petaling Jaya, Selangor dari 30 Ogos hingga 7 September 2021.

Latihan tersebut diadakan sebagai persiapan awal menjelang saingan Kumpulan J, Kelayakan Piala Asia B-23 2022 bertemu Laos, Mongolia dan Thailand di Ulaanbaatar, Mongolia dari 27 hingga 31 Oktober 2021.

Daripada senarai itu, Maloney turut memanggil seramai lima pemain yang melebihi usia 20 tahun tetapi masih dalam had umur B-22 yang dibenarkan dalam syarat pertandingan iaitu empat pemain Terengganu FC II – Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin (22), Muhammad Hairiey Hakim Mamat (21), Muhammad Nur Azfar Fikri Azhar (21) dan Muhammad Syafik Ismail (21) serta seorang pemain Selangor FC 2 – Saiful Iskandar Adha Saiful Azlan (22).

Kem latihan ini juga disertai oleh dua pemain pertahanan dari kelab England iaitu Adam Roshan Kris Azman (Brook House FC) dan Amir Faruk (Chipstead FC).

HM-Senarai-Pemain-B20

Bagi kem latihan pusat Fasa 1 ini, Maloney memanggil majoriti pemain dari pasukan-pasukan Liga Premier 2021 memandangkan saingan liga divisyen dua kebangsaan itu sedang berehat seketika sepanjang jendela perlawanan antarabangsa FIFA dari 30 Ogos hingga 7 September itu, selain seorang pemain dari skuad Liga Super Kedah Darul Aman FC, dua pemain dari skuad Piala Presiden Johor Darul Ta’zim III dan dua pemain dari luar negara.

Seterusnya, beberapa lagi pemain lain yang beraksi dalam Liga Super 2021 akan dipanggil menyertai pasukan pada kem latihan pusat Fasa 2 yang dijadual bermula pada 19 September 2021 iaitu sehari selepas berakhirnya saingan Liga Super 2021 bersama beberapa lagi pemain dari luar negara seperti Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Kuzri Wan Kamal.

Skuad kendalian Maloney itu bakal memulakan saingan di Ulaanbaatar bertemu Laos pada 27 Oktober 2021 diikuti aksi menentang tuan rumah, Mongolia pada 29 Oktober 2021 dan perlawanan terakhir berdepan Thailand pada 31 Oktober 2021 bagi merebut tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 di Uzbekistan pada Jun 2022.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Daniel Wafiudin Buru Impian Jadi Penjaga Gol Harimau Malaya

JDT Semakin Hampir Bergelar Juara Liga Super Kali Kelapan

Rodney Celvin Disahkan Mengalami Kecederaan Bahu

Liga Super 2021: Perak Semakin ‘Tenat’, Selangor Kekalkan Kecemerlangan