Seramai 13 penyokong Kedah yang berdepan detik hitam ketika van yang dinaiki mereka terbakar dalam perjalanan untuk menyaksikan aksi separuh akhir Shopee Piala FA 2019 menerima penghargaan istimewa daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Ini selepas 13 penyokong terbabit menerima tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini yang diserahkan oleh MFL sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan mereka terhadap pasukan Helang Merah.

Tiket Final
Sumber Gambar: MFL

MFL memuji semangat tinggi ditunjukkan oleh penyokong berkenaan apabila mereka tetap meneruskan perjalanan ke Stadium Tun Abdul Razak, Jengka walaupun ditimpa musibah pada pertengahan jalan yang menyaksikan van dinaiki musnah terbakar.

Seramai tujuh orang wakil penyokong hadir ke sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir Shopee Piala FA 2019 pada Isnin lalu bagi menerima tiket yang diserahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Suaznat Sulaiman yang merupakan salah seorang mangsa terbabit berterima kasih atas keprihatinan MFL kepada mereka yang terlibat dalam insiden itu.

Tiket Final
Sumber Gambar: MFL

“Kejadian itu tidak mematahkan semangat kami sebab nak tunjukkan semangat yang ada dalam diri sebagai penyokong ni akan sampai kepada pemain-pemain Kedah untuk beraksi.

“Sebab itulah kami teruskan juga perjalanan kami ke stadium (Stadium Tun Abdul Razak) walaupun sudah ditimpa dugaan besar dengan barang-barang berharga juga turut musnah dalam kebakaran itu,” kata Suaznat.

Tambah Zulkiffli, “Kami tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dan apa-apa pun terima kasih banyak-banyak kepada pihak MFL dan CEO MFL Kevin Ramalingam serta kelab-kelab gabungan yang banyak beri sokongan daripada belakang,” katanya.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Shahrul Samsudin menyifatkan pengorbanan sebegitu wajar dipuji demi semangat cintakan pasukan.

Shahrul Shamsudin
Sumber Gambar: MFL

“Kejadian waktu itu sememangnya dugaan besar kepada penyokong yang terlibat dan tidak sangka van yang dibawa musnah terbakar sepenuhnya.

“Tapi kami di pihak KFA amat terharu atas pengorbanan dan rasa cinta penyokong kepada pasukan yang sanggup turun juga ke stadium walaupun sudah ditimpa musibah.

“Kami juga berterima kasih atas hadiah daripada MFL ini yang diberikan kepada penyokong-penyokong kami”, katanya.