Setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan terdapat 12 pasukan Liga Malaysia kini sedang giat melengkapkan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC) itu.

Menurut kenyataannya dalam Bernama, setakat ini hanya 4 pasukan sahaja yang telah melengkapkan proses penswastaan kelab sebelum tarikh akhir pada bulan September 2020 sementara 6 pasukan lagi belum memulakan proses penswastaan kelab.

Stuart turut menegaskan semua pasukan wajib menukar status kepada FC supaya tidak berdepan masalah untuk menyertai Liga Malaysia dan pertandingan anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kelak.

“Proses penswastaan ini dipantau oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan kemungkinan FA yang tidak dapat menukar status kepada FC untuk bersama liga tahun depan, akan menghadapi masalah yang besar. FAM memerlukan kerjasama semua pihak.

“Terdapat beberapa fasa dalam perubahan FA ke FC dan tahun ini merupakan fasa penubuhan FC secara rasmi. FAM mahu pastikan proses itu berjalan juga tahun ini dan selepas itu baru fasa peralihan pengurusan dan tanggungjawab,” katanya kepada Bernama.

UAE
Sumber Gambar: FAM

Langkah untuk melakukan proses tersebut telah pun diarahkan oleh FAM kepada kelab-kelab yang bertanding pada Februari 2020, namun ia dilihat agak sedikit perlahan dan terjejas ekoran pandemik COVID-19 yang menyaksikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan bermula 18 Mac 2020.

Justeru itu, Unit Pelesenan Kelab FAM dan Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional FAM telah berjumpa dengan beberapa wakil kelab ini bagi membantu menyelesaikan masalah berhubung proses penswastaan kelab.

“Ada kelewatan disebabkan COVID-19 dan disebabkan berlakunya perubahan pengurusan beberapa FA. Dengan kelewatan itu, FAM akan kerja lebih keras untuk memberi sokongan kepada mana-mana FA untuk proses ini dilaksanakan musim ini,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Tabur Garam Dan Nasi Di Atas Padang, Kelab Vietnam Ini Disyaki Amalkan Ilmu Hitam Untuk Raih Kemenangan

Bola Sepak Indonesia Kembali Bergasak, Pemain Pijak Kepala Pengadil

Alireza Beiranvand Sertai Kelab Belgium, Royal Antwerp