Penjaga gol tinggi lampai skuad kebangsaan Iran, Alireza Beiravand sah menyertai kelab yang beraksi dalam saingan Jupiler Pro League Belgium, Royal Antwerp.

Beiravand berangkat ke Belgium hari ini bagi melengkapkan perpindahan ke Antwerp setelah tertangguh sejak awal tahun lalu ekoran penularan wabak Coronavirus (COVID-19) yang sedang melanda dunia ketika ini.

https://twitter.com/PersianFutbol/status/1282617009776340997?s=19

“Saya akan meninggalkan Iran, tetapi hati saya tetap berada di sana. Saya meminta untuk warga Iran mendoakan pengembaraan saya. Saya berharap dapat menjadi wakil dari Iran yang baik di Belgium nanti,” kata Alireza Beiravand.

Penjaga gol yang mempunyai ketinggian 1.9 meter ini mula mendapat perhatian setelah beliau menyelamatkan sepakat penalti bintang Juventus, Cristiano Ronaldo ketika temasya Piala Dunia 2018 di Rusia.

Pada perlawanan peringkat kumpulan B, kecemerlangan Beiravand berjaya membantu Iran mengutip satu mata ketika berdepan Portugal. Akan tetapi, skuad bimbingan Carlos Queiroz ketika itu gagal melepasi peringkat kumpulan.

Dalam saingan Jupiler Pro League musim lalu, Royal Antwerp menamatkan saingan di tangga ke-4 sekaligus layak ke peringkat kelayakan saingan UEFA Europa League pada musim 2020/2021 nanti.

Beiravand mengikut jejak langkah Kawin Thamsatchanan sebagai penjaga gol dari rantau Asia yang beraksi di liga Belgium.

Kawin beraksi bersama OH Leuven selama satu setengah musim sebelum menyertai kelab Jepun, Hokkaido Consadole Sapporo pada awal tahun ini.

Baca artikel lain mengenai pemain Asia yang beraksi di Eropah di sini:

Penjaga Gol Kacukan Jepun-Perancis Ini Percaya The Samurai Blue Mampu Juarai Piala Dunia 2022

Real Madrid Mahu Takefusa Kubo Sertai Real Sociedad Walaupun AC Milan ‘Cucuk Rapat’ Bakat Jepun Ini

Senarai 10 Pemain Asia Termahal Bagi Musim 2019/2020