Saingan badminton tertua di dunia, All England akan memasuki edisi ke-114 pada tahun ini yang mana kejohanan tersebut bakal bermula petang esok (waktu Malaysia) di Utilita Arena Birmingham, England.

Baca Juga:

Seperti kejohanan-kejohanan lain, harapan tinggi pastinya diletakkan di bahu para pemain negara selepas Lee Zii Jia menjadi wakil Malaysia terakhir muncul juara pada 2021.

Zii Jia hampir sekali lagi beraksi di pentas final pada tahun lalu tetapi akhirnya hampa berikutan kekalahan dalam aksi ‘rubber set’ ketika bertemu Lakshya Sen dari India.

Pada edisi kali ini, Zii Jia tetap diharapkan dapat bangkit bagi mempamerkan aksi terbaiknya selepas gagal melepasi pusingan kedua pada empat kejohanan terakhir.

Lebih tepat lagi sejak memasuki tahun 2023, perjuangan Zii Jia terhenti pada pusingan pertama Terbuka Malaysia manakala di Terbuka India, Indonesia Masters dan Terbuka Jerman pula hanya mampu melangkah ke pusingan kedua.

Selain Zii Jia, dua lagi wakil negara akan beraksi dalam acara perseorangan lelaki iaitu Ng Tze Yong dan Liew Daren. Goh Jin Wei pula menjadi wakil tunggal bagi perseorangan wanita.

Dua gandingan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi akan membawa cabaran dalam beregu lelaki. Pada mulanya skuad negara memiliki tiga wakil tetapi kecederaan memaksa Man Wei Chong-Tee Kai Wun menarik diri.

Pasangan beregu wanita negara yang mara ke separuh akhir Terbuka Jerman minggu lalu, Pearly Tan-Thinaah Muralitharan akan meneruskan perjuangan di Birmingham bersama pasangan ‘independent’, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien.

Sementara itu acara beregu campuran menampilkan tiga pasangan yang melibatkan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.