Pengurus kelab gergasi La Liga Sepanyol, Real Madrid, Zinedine Zidane menegaskan beliau tidak tergesa-gesa untuk menyeraraikan bintang muda Jepun, Takefusa Kubo dalam skuad utama bagi menghadapi saingan musim 2019/2020.
Kubo tampil cemerlang dalam perlawanan pra musim yang melibatkan Los Blancos setakat ini namun Zidane mahu mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak mahu memaksa pemain berusia 18 tahun itu untuk terus beraksi bersama pasukan utama.
Zidane berkata: Ramai pemain yang menyertai kempen pra musim kami berasal daripada pasukan akademi. Kubo menandatangani kontrak bersama Real Madrid baru-baru ini dan beliau merupakan pemain untuk masa hadapan. Tetapi kita akan lihat bagaimana perkembangan beliau. Lebih baik Kubo berlatih dengan kami dan beraksi untuk Real Madrid Castilla. Kubo masih muda dan dia perlu bersabar dengan perkembangannya,” kata Zidane seperti yang dilaporkan Bleacher Report.
Takefusa Kubo menjadi salah satu pemain yang dibawa masuk oleh Real Madrid setelah mereka menamatkan saingan musim 2018/2019 dengan penuh kekecewaan. Dengan kecederaan yang melanda Marco Asensio, peluang Kubo untuk tampil dalam kesebelasan utama dilihat cerah. Dengan syarat beliau perlu mengekalkan momentum serta prestasi semasa.
Kubo akan bersaing dengan Gareth Bale, Vinicius Junior serta Lucas Vazquez bagi mengisi posisi sayap kanan. Seorang lagi pemain yang dibawa masuk pada jendela perpindahan musim panas ini, Eden Hazard dijangka akan mengisi posisi saya kiri.